Bapa bakar semangat Nor Iman sambar emas kick boxing

Iklan
Nor Iman bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya di Phnom Penh pada Selasa. - Foto Bernama

KATA-KATA semangat daripada bapanya, Rakib Ahmad serta kejayaan adiknya mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA edisi lepas, membakar semangat atlet kick boxing negara, Ahmad Nor Iman Hakim Rakib untuk menghadiahkan pingat emas kepada negara.

Turun bersaing dalam final kategori kick light lelaki bawah 69 kilogram di Elephant Hall, Stadium Nasional Morodok Techo di Phnom Penh pada Selasa, Nor Iman menewaskan wakil Indonesia, Muharram Syach Firman 2-1 untuk muncul juara Sukan SEA Kemboja 2023.

Iklan
Iklan

Kejayaan meraih emas itu amat bermakna bagi atlet berusia 23 tahun itu yang pertama kali bertanding dalam acara kick boxing selepas meraih perak dan gangsa masing-masing pada edisi 2019 di Filipina dah Hanoi, Vietnam tahun lepas bagi acara taekwondo.

Pada edisi di Hanoi, adiknya, Ahmad Nor Iman Aliff menghadiahkan pingat emas buat negara dalam acara muay Thai.

Iklan

"Saya rasa gembira sangat, sukar nak digambarkan. Nak dapatkan pingat emas bukan mudah...susah sebab saya ada banyak komitmen...belajar, mengajar kelas taekwondo dan muay Thai. Memang perlu pengorbanan," katanya.

Nor Iman berkata, bapanya yang juga legenda tinju negara, ada memberi kata-kata semangat sebelum beliau turun bersaing pada final hari ini.

Iklan

"Ayah beritahu strategi dan kata-kata semangat, dia cakap buat yang terbaik. Saya harap ibu bapa saya gembira dengan pingat emas yang dimenangi sebab adik saya dah dapat emas (Sukan SEA) dulu daripada saya.

"Adik saya lebih dahulu ke hadapan, saya rasa tertinggal. Itu mendorong saya untuk mendapatkan pingat emas. Adik juga ada beritahu supaya saya buat yang terbaik," katanya menjelaskan keinginannya yang tinggi bagi mendapatkan emas membuatkan beliau berjuang habis-habisan sehingga pertarungan tamat.

Sebagai rekod, Rakib adalah pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 1998 serta pingat perak Sukan SEA 2001. - Bernama