SHAH ALAM - Satu kombinasi yang dinamik oleh kerajaan dan pembangkang perlu dilakukan bagi memastikan isu dan suara berkaitan rakyat dapat dibincangkan serta diselesaikan dengan baik.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, ini kerana ketika ini, satu perbincangan yang tuntas berkenaan perkara tersebut tidak dilihat berlaku di Parlimen kerana pihak pembangkang lebih banyak menyentuh berkenaan isu kaum dan agama.
Jelasnya, rakyat ketika ini mendambakan input atau pengisian lebih baik daripada pembangkang untuk menyuarakan berkenaan masalah yang dihadapi.
"Ini memandangkan semua (kerajaan dan pembangkang) pernah jadi menteri, Perdana Menteri, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi itu dan ini.
Jadi, perbincangan konstruktif di dalam dewan rakyat itu sangat-sangat kita dambakan.
"Hanya berlaku perbincangan retorik dalam Parlimen yang tidak kemana, terus sentuh isu Melayu dan Islam adalah lebih banyak. Sedangkan kita sebagai rakyat, mendambakan input yang lebih baik daripada pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Wacana Sinar yang bertajuk Ketepikan Perbezaan Demi Perpaduan? yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator program.
Tambah Mujibu, sebagai pembangkang, seharusnya mereka memberikan tumpuan yang lebih dan melontarkan idea yang konstruktif berkenaan isu ekonomi, kos sara hidup dan pelbagai lagi.
"Kita mahu mendengar tentang bagaimana mewujudkan satu peluang pekerjaan dengan gaji yang bermaruah? Bagaimana mempertingkatkan kualiti pendidikan supaya pendidikan itu barangkali mampu menjana pekerjaan sendiri berbanding peluang yang ada sekarang ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu perkauman dan agama masih menjadi pilihan ahli politik untuk menarik pengundi, Mujibu berkata, ia sepatutnya tidak berlaku kerana hanya mendatangkan kesan negatif kepada negara.
Jelasnya, selain menyebabkan rakyat terikut-ikut dengan sifat perkauman yang dimainkan, ia juga menjadikan perbincangan lebih penting seperti isu rakyat, ekonomi ditutup dan tidak diketahui rakyat.
"Dalam hal ini, satu keperluan dan kepentingan juga pada semua mereka yang bergelar pemimpin, harus ada satu keazaman politik untuk ubah corak ini,” ujarnya.