GOL separuh masa kedua penyerang Lautaro Martinez membolehkan Inter Milan menang 1-0 ke atas pencabar AC Milan pada aksi separuh akhir kedua Liga Juara-Juara pada Rabu.
Kemenangan di Stadium San Siro itu sekali gus mengesahkan kemenangan agregat 3-0 untuk Inter menempah tiket perlawanan akhir di Istanbul.
Dalam aksi itu, Martinez tenang memecah kebuntuan apabila melakukan rembatan kencang untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-74.
Inter sebelum itu selesa dengan bekalan dua gol yang dijanakan Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan untuk kedudukan 2-0.
Kemenangan itu membolehkan Inter menentang Real Madrid atau Manchester City dalam perlawanan akhir pada 10 Jun.
Pengendali Inter, Simone Inzaghi menurunkan pasukan yang tidak berubah dari perlawanan pertama, dengan Martinez dan Dzeko di hadapan, telah merehatkan pemain di Serie A pada hujung minggu.
Penyerang utama, Rafael Leao kembali ke Milan selepas kecederaan mengetepikannya pada perlawanan pertama, dengan Junior Messias dan Malick Thiaw bermula menggantikan Alexis Saelemaekers dan Simon Kjaer.
Milan pimpinan Stefano Pioli terus mencari ruang untuk mencetuskan kebangkitan, namun Inter terlebih dulu menutup setiap ruang pada separuh masa pertama.
Martinez memadam kebangkitan Milan, bermain satu-dua dengan pemain gantian Romelu Lukaku sebelum menjaringkan gol keenamnya dalam enam perlawanan terakhir Inter.
"Terdapat banyak sejarah dalam kejuaraan ini. Saya merasakannya, kami melakukan kerja yang hebat dalam kedua-dua perlawanan...
"Perpaduan berkumpulan (memotivasikan kami). Saya mengalaminya di Piala Dunia, itu penting. Jika anda mempunyai kumpulan bersatu, perkara lebih mudah. Kami telah menunjukkan bahawa Inter layak mendapat detik ini.
"Beraksi di final Liga Juara-Juara adalah impian. Kami memulakan musim ini dengan gol dan hari ini kami mencapai satu yang sangat penting," kata Martinez, yang memenangi Piala Dunia bersama Argentina pada Disember.