Ukraine, Rusia bersemuka pada Jun di ICJ berhubung MH17

Iklan
Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam dan menuju ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika pertempuran antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

UKRAINE dan Rusia akan bersemuka di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 6 Jun berhubung dakwaan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Hakim akan mendengar dakwaan Ukraine bahawa Moscow melanggar Perjanjian PBB dengan menyokong puak pemisah pro-Rusia yang dikenal pasti oleh Mahkamah Belanda sebagai pihak bertanggungjawab dalam nahas itu.

Iklan
Iklan

Pada November tahun lalu, Mahkamah Belanda mensabitkan dua lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine dengan membunuh kerana peranan mereka dalam menembak jatuh penerbangan MH17.

Seramai 298 penumpang dan anak kapal terkorban dalam kejadian itu dan ketiga-tiga suspek dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Iklan

Penerbangan Malaysia Airlines MH17 berlepas dari Amsterdam dan menuju ke Kuala Lumpur apabila ia ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 ketika pertempuran antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Keputusan Belanda juga mendapati bahawa Rusia mempunyai"kawalan keseluruhan" ke atas pasukan Republik Rakyat Donetsk di timur Ukraine mulai pertengahan Mei 2014.

Iklan

Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah menetapkan empat hari perbicaraan pada 6, 8, 12 dan 14 Jun untuk mendengar hujah kedua-dua pihak dalam kes itu.

Kes ini yang difailkan pada 2017 adalah salah satu daripada dua kes Ukraine yang dibawa terhadap Rusia di mahkamah.

Kes lain yang difailkan selepas pencerobohan Rusia 2022 berpusat pada dakwaan Moscow bahawa mereka menyerang Ukraine untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai.

Ia biasanya mengambil masa beberapa tahun untuk kes di ICJ mencapai peringkat perbicaraan mengenai merit kes itu. - Awani