Banjir tak jejas harga ikan di Terengganu

Iklan
Tiada kenaikan harga ikan dikesan di pasar minggu Rusila pagi ini malah lebih rendah berbanding beberapa lokasi lain.
MARANG - Peniaga ikan di daerah ini masih lagi mengekalkan harga sama bagi pelbagai jenis ikan segar walaupun banjir sudah melanda di tiga daerah di negeri ini sejak kelmarin.

Menerusi tinjauan Sinar Harian terhadap harga ikan di pasar minggu Rusila, tiada kenaikan harga ikan dikesan malah lebih rendah berbanding di Merchang dan beberapa lokasi lain, pagi ini.

Di Merchang, harga ikan tongkol kekal RM10 sekilogram manakala kembung pada harga RM16 sekilogram, kerisi, selayang, selar dan kembung bersaiz kecil antara RM8 hingga RM12 sekilogram.

Peniaga, Jamal Ismail, 33, berkata, harga ikan masih sama seperti harga sepanjang minggu lalu walaupun bekalan ikan diperoleh semakin berkurangan berbanding beberapa minggu lalu.

Menurutnya, harga ikan segar yang dijual tidak sama di Merchang dan di Rusila namun perbezaannya tidak ketara antara RM1 atau RM2 bagi jenis ikan yang terpilih selain itu harga masih sama.

"Di sini perubahan harga bergantung kepada bekalan diperoleh, jika ikan kurang harga mungkin naik sedikit tetapi macam sekarang bekalan ikan masih lagi ada, jadi harga biasa saja," katanya, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Mohamad Ismail, 54, berkata, dia dan rakan niaga lain tidak menerima sebarang aduan terhadap harga yang dikenakan kerana pelanggan memahami keadaan sekarang ini.

"Mereka merasakan harga ikan segar ditawarkan masih munasabah. Kemungkinan minggu depan akan naik mungkin juga akan kekal seperti sekarang. Ia bergantung kepada keadaan semasa.

"Bezanya, jika pelanggan tawar harga pada waktu sekarang ini kita pun tidak boleh lebih kurang kerana tak untung banyak sebab kita ambil ikan pun pada harga yang agak tinggi,” katanya.

Sementara itu, setakat pukul 6.20 petang semalam, jumlah mangsa banjir mencatatkan peningkatan kepada seramai 897 orang daripada 313 keluarga di Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

Berdasarkan portal Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 6.20 petang itu, kesemua mangsa ditempatkan di 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah berkenaan.