Gangguan bekalan air di 99 kawasan di Selangor pada Isnin

Iklan
Antara 99 kawasan dalam wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin ini.

SHAH ALAM - Sebanyak 99 kawasan dalam wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula pada 22 Mei ini.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan perkembangan itu susulan pelaksanaan kerja kecemasan pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cerakah, Bandar Puncak Alam, Kuala Selangor.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan, gangguan bekalan air akan bermula pada jam 9 pagi pada Isnin dan kerja pembaikan dijangka siap pada jam 3 pagi pada Selasa manakala bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 malam pada hari berikutnya.

"Kerja-kerja pembaikan kecemasan membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 milimeter dan melibatkan kawasan agihan berskala besar.

Iklan

"Oleh yang demikian, tempoh pembaikan dan pemulihan mengambil masa yang agak lama," kata kenyataan di laman Facebook Air Selangor pada Rabu.

Air Selangor turut memaklumkan bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat sebaik kerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan.

Iklan

Bagaimanapun, agensi itu berkata, sekiranya kebocoran menjadi kritikal, kerja kecemasan pembaikan paip pecah akan dimulakan lebih awal dari tarikh dimaklumkan.

Kenyataan itu menambah, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

"Air Selangor menasihatkan pelanggan terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.

"Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui aplikasi Air Selangor atau laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

"Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan melalui laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor," kata kenyataan itu.