ISLAMABAD - Beribu-ribu penyokong bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan akan dibicara di bawah undang-undang tentera negara itu berikutan rusuhan ganas yang disusuli penahanannya minggu lalu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Pemimpin tertinggi politik dan tentera Pakistan berikrar tidak berlembut terhadap mereka yang terlibat dalam serangan di kemudahan keselamatan," kata kenyataan pejabat perdana menteri.
"Tidak akan ada toleransi terhadap keganasan dan perbuatan jenayah,” kata kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa selepas mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara Perdana Menteri Shehbaz Sharif.
Jawatankuasa itu terdiri daripada ketua tentera dan perisikan yang diberi kuasa untuk membuat keputusan mengenai isu keselamatan dan keganasan.
Lebih 4,000 penyokong Khan ditangkap selepas mereka menyerbu ibu pejabat tentera, membakar kediaman seorang komander, dan membakar kenderaan awam dan persendirian, menurut polis.
Khan yang disingkirkan tahun lalu oleh parlimen melalui undi tidak percaya ditahan oleh badan anti rasuah atas tuduhan rasuah minggu lalu, namun mahkamah memerintahkan pembebasannya selepas dua hari.
Perbicaraan rahsia di bawah undang-undang kontroversi tentera bermakna ketelusan yang sedikit dan proses rayuan yang panjang dan rumit di mahkamah awam, kata Rizwan Khan, seorang peguam yang berpangkalan di Islamabad.
Keputusan untuk membicarakan orang awam di bawah undang-undang tentera ditentang oleh beberapa ahli politik dari parti kerajaan dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pakistan (HRCP).
"HRCP menentang keras penggunaan Akta Tentera Pakistan 1952 dan Akta Rahsia Rasmi 1923 untuk membicarakan orang awam,” kata kumpulan hak asasi negara itu di media sosial.
Khan sendiri menyokong perbicaraan terhadap orang awam di bawah undang-undang tentera semasa memegang jawatan perdana menteri antara 2018 dan 2022. - Bernama