Jangan tuding kesalahan kepada Kedah - Sanusi

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya berhubung kerosakan baraj Sungai Muda sehingga menjejaskan bekalan air di selatan Kedah dan Pulau Pinang.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini kerana pengoperasian pintu baraj adalah di bawah bidang kuasa Pengurusan Lembangan Sungai Muda (PLSM).

Iklan
Iklan

Jelasnya, PLSM berada di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang merupakan agensi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

Justeru katanya, NRECC sewajarnya mengambil tindakan terhadap petugas PLSM yang didakwa cuai memantau operasi baraj pada hari kejadian.

Iklan

"Ada salah faham, dibina naratif kerajaan negeri gagal mengawal selia baraj sebagai punca. Sedangkan ia 100 peratus bawah PLSM, bukan bawah Lembaga Sumber Air Kedah (LSAK) atau Syarikat Air Darul Aman (SADA) atau Pejabat Menteri Besar.

"Kita terima keadaan itu sebagai kecuaian di pihak PLSM,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, beliau turut hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengarah LSAK dan mendapati kecuaian tersebut wajar diambil tindakan.

"Ada pihak menuding kejadian ini sebagai kesalahan kerajaan negeri, saya ingin perbetulkan tudingan itu adalah salah.

"Kamu patut menuding ke Putrajaya (NRECC) kerana itu tanggungjawab mereka,” ujarnya.

Tambah Muhammad Sanusi, SADA telah memaklumkan mengenai paras air yang semakin menurun kepada PLSM, namun tidak diendahkan dan tiada tindakan segera dilakukan.

"SADA telah maklumkan melalui aplikasi WhatsApp kepada kumpulan yang mengendalikan paras air dan baraj pada 10 malam, kemudian 12 malam bahawa paras air makin menurun sampai 7 pagi esoknya baru ditutup setelah pintu tersebut terbuka selama 11 jam.

"Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang jaga baraj Ampang Jajar maklum sepatutnya setiap dua jam petugas perlu memeriksa dan menulis dalam buku log mengenai keadaan paras air dan pintu baraj,” jelasnya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, keadaan sebenar dan terkini berhubung kejadian tersebut telah disembah maklum kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada pagi Rabu.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memberitahu, terdapat 14 pintu baraj di Sungai Muda dengan tujuh daripadanya rosak sepenuhnya namun dalam keadaan tertutup, selebihnya masih boleh beroperasi secara manual atau automatik.

"Dalam kejadian itu, pintu baraj ke-14 terbuka sendiri sebanyak 50 peratus kerana sistem pengimbas mendapati ada keperluan untuk berbuat demikian sehinggalah air yang ditakung itu mengalir deras ke laut tanpa sekatan,” katanya.

Menurutnya lagi, kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendakwa kerosakan pintu baraj hanya melibatkan kawasan Kedah juga perlu diberikan perhatian.

"Sebenarnya baraj ada di kedua-dua negeri. Pintu yang boleh dibuka tutup berada di sebelah Kedah dan sebelah Pulau Pinang langsung tidak boleh beroperasi. Baraj kita walaupun ada masalah baru-baru ini masih boleh beroperasi. Yang di sana (Pulau Pinang) strukturnya melebihi 50 tahun, baraj itu pula lebih rendah tetapi sungainya lebih dalam,” katanya.

Jelas Muhammad Sanusi lagi, difahamkan peruntukan bagi menggantikan peralatan mengawal pintu sudah disediakan sekitar RM8.5 juta.

"Cuma saya tak pasti bila mereka akan mula membeli alat-alat baharu itu. Itu kena tanya kementerian. Jangan tanya Kedah pula.

"Saya harap orang-orang yang membina naratif ia kelemahan kerajaan negeri faham situasi sebenar bahawa ia bukan bawah bidang kuasa negeri. Ia tanggungjawab PLSM, JPS dan NRECC, jadi jangan lepas tangan,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya NRECC berhasrat menubuhkan jawatankuasa siasatan, pihaknya berharap hasil siasatan didedahkan kepada umum.