PUTRAJAYA - Seorang lelaki berkerusi roda dihantar ke penjara oleh Mahkamah Rayuan hari ini selepas gagal dalam rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara enam bulan kerana memiliki kereta curi.
Taufik Goh Abdullah, 48, yang tidak diwakili peguam semasa mengaku bersalah atas pertuduhan itu dalam keadaan terbaring di katil hospital, telah disabitkan kesalahan oleh majistret.
Prosiding mahkamah dijalankan di sebuah hospital di Muar pada 4 Februari 2020 dengan dihadiri majistret, timbalan pendakwa raya dan pegawai penyiasat setelah Taufik dimasukkan ke hospital itu selepas rebah ketika ditahan reman di balai polis Muar.
Dalam rayuannya hari ini, Taufik, seorang pemilik restoran, mempersoalkan kesahihan pengakuan bersalahnya dan berhujah bahawa majistret tidak mengikut prosedur mengikut Seksyen 173 Kanun Tatacara Jenayah.
Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, menolak rayuan Taufik dan memutuskan sabitan serta hukuman penjara yang dijatuhkan oleh majistret adalah selamat.
Mahkamah kemudian mengeluarkan waran komital untuk Taufik, yang hadir di mahkamah berkerusi roda, supaya memulakan hukuman penjara mulai hari ini. Taufik sebelum ini dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azimah Omar.
Taufik mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki harta curi iaitu kereta Perodua Myvi 1.5 SE milik seorang wanita di restorannya di Kluang, Johor pada jam 11 malam pada 28 Januari 2020.
Dia dijatuhi hukuman penjara enam bulan, hukuman penjara minimum yang ditetapkan bagi kesalahan itu.
Taufik kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap sabitan serta hukuman penjara tetapi ditolak pada 19 Disember 2021 dan pada 25 Januari 2022, dia diberi kebenaran untuk merayu di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukumannya terhadap tiga persoalan undang-undang.
Persoalannya ialah sama ada pengakuan bersalahnya adalah sah, sama ada berlaku kegagalan keadilan dalam prosiding mahkamah dan sama ada perintah ikat jamin boleh dibuat dan bukannya hukuman penjara.
Semasa prosiding hari ini, peguam G Visvanathan Nair yang mewakili Taufik berkata, anak guamnya mengambil ubat pada masa itu dan tidak boleh membuat keputusan sendiri apabila mengaku bersalah terhadap pertuduhan selain tidak memahami sifat dan akibat kesalahan itu.
Peguam juga memohon mahkamah agar memerintahkan perbicaraan semula atau anak guamnya dibenarkan diikat jamin untuk berkelakuan baik.
Timbalan Pendakwa Raya Samihah Rhazali, bagaimanapun, berhujah bahawa tiada kesilapan prosedur apabila majistret menerima pengakuan bersalah Taufik, sambil menambah bahawa Taufik mengetahui sepenuhnya prosiding itu. - Bernama