PEMIKIRAN dan semangat semua segmen bola sepak di Kedah diharap dapat berubah selari dengan perubahan masa Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang akan menjangkau usia 100 tahun penubuhannya pada 2024.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua segmen antaranya pihak pengurusan, penaja, jurulatih, pemain dan penyokong perlu lebih matang dan positif demi membantu mengangkat kembali negeri Kedah di persada bola sepak tanah air.
Iklan
Iklan
"Tahun depan, genap 100 tahun KFA, banyak sejarah dan suka duka yang telah dilalui... jadi dengan pencapaian 100 tahun itu, saya berharap pemikiran dan semangat kita semua juga dapat berubah selari dengan perubahan masa ini," katanya semasa berucap pada Majlis Aidilfitri KFA pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, sejak dilantik menjadi Presiden KFA pada 2020, banyak perubahan yang telah cuba dilakukannya termasuk menutup ruang-ruang kepada pihak yang berniat untuk mengambil kesempatan terhadap persatuan berkenaan.
"Saya tahu selok-belok dalam persatuan bola sepak... ini tempat untuk orang membina pengaruh dan membawa lari duit, jadi saya telah matikan, tutup semua ruang yang boleh ditembusi kerana ingin pastikan KFA bebas daripada perkara-perkara yang boleh menjatuhkan bola sepak negeri.
"Menjangkau 100 tahun ini juga, kita telah berjaya mempunyai bangunan sendiri yang akan dinamakan sebagai 'House Of Kedah Football' dan ini akan menjadi mercu tanda kepada persatuan di samping meningkatkan lagi tadbir urus organisasi KFA demi pembangunan bola sepak di Kedah," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan