IPOH - Polis Perak berjaya memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar dadah jenis heroin di Jelapang, Selasa lalu.
Serbuan yang dijalankan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah rumah dua tingkat itu turut menemukan 25.3 kilogram (kg) heroin bernilai RM210,122.80.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rumah tersebut dipercayai menjadi tempat memproses dan pembungkusan dadah sejak Februari lalu.
"Lelaki berusia 30 tahun dan isterinya 38 tahun berjaya ditahan bersama heroin seberat 21.67kg dan cecair disyaki heroin seberat 3.64kg.
"Turut dirampas adalah bahan-bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan itu," katanya dalam sidang akhbar di IPK Perak di sini pada Khamis.
Menurutnya, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita sebuah kereta jenis Perodua Axia dan seutas rantai leher bernilai RM36,000.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
"Dadah yang dirampas adalah untuk diedarkan di pasaran tempatan sekitar negeri dan boleh digunakan lebih 47,000 penagih dadah," katanya.
Mohd Yusri berkata, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Selasa ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.