MELAKA TENGAH - Seramai 20 wanita terdiri daripada ibu tunggal dan suri rumah tanpa pendapatan tetap menyertai kursus jahitan kreatif anjuran Prestij Melaka (Prestij), kelmarin.
Kursus selama dua hari bermula Sabtu itu memberi penumpuan mempelajari kaedah jahitan kreatif membabitkan pelbagai jenis beg yang boleh diketengahkan sebagai produk komersial.
Penasihat Eksekutif Prestij Amir Hamzah Aziz berkata, menariknya kursus itu apabila setiap peserta bukan sahaja diberikan sijil penyertaan malah turut diberikan mesin jahit jenama Brother secara percuma.
"Kursus melibatkan tenaga pengajar dari Suri Inspirasi Sdn Bhd yang berpangkalan di Klang, Selangor ini adalah inisiatif kami membantu golongan ibu tunggal dan individu yang ingin menambah pendapatan dalam seni jahitan kreatif dengan memanfaatkan barangan terbuang.
"Selama dua hari mereka akan diajar secara asas namun kemudiannya boleh dipraktikkan menggunakan bahan-bahan lain. Harapan Prestij, mereka yang terpilih tidak mensia-siakan peluang berharga ini supaya suatu hari nanti produk yang dihasilkan mampu dikormersialkan," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui ketika majlis penutupan kursus berkenaan yang berlangsung di pejabat koperasi terbabit di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, kelmarin.
Hadir sama, Presiden Prestij Melaka, Maznah Ibrahim dan Pengasas Suri Inspirasi Sdn Bhd, Sally Ahmad.
Sementara itu, Sally yang juga Pengerusi Persatuan Kreatif Inovatif berkata, ibu tunggal dan suri rumah boleh memperoleh pendapatan menggunakan fabrik terpakai dan boleh menyambung kursus ke tahap lebih tinggi jika berminat.
"Selama dua hari ini, kita hanya mengajar asas jahitan dan setiap beg yang dihasilkan boleh direka mengikut kreativiti masing-masing, bersesuaian dengan kehendak masa kini. Pengajaran kursus lebih fokus kepada pembuatan dan perkhidmatan," katanya.
Seorang peserta, Asiah Ali, 40, berkata, kursus jahitan itu membuka matanya mengenai peluang menambah pendapatan sekali gus membantu suami meningkatkan ekonomi rumah tangga.
"Saya sendiri tidak mempunyai mesin jahit, namun apabila mendapat peluang menyertai kursus ini, saya teruja dan akhirnya saya amat berpuas hati apabila mampu menyiapkan empat jenis beg dalam masa dua hari, sepanjang kursus berlangsung," katanya.
Seorang lagi peserta Dhamirah Atiqah Mohd Norzin, 31, berkata, semua peserta bertuah kerana sebaik tamat kursus dapat membawa pulang sebuah mesin jahit setiap seorang.
"Dengan kreativiti kita sendiri, kita mampu hasilkan pelbagai produk melalui jahitan, malah pihak koperasi dan guru-guru yang mengajar juga bersedia memberi tunjuk ajar jika diperlukan," katanya.