KEDAH Darul Aman (KDA) FC tidak memandang rendah keupayaan Kelantan FC apabila menerima kunjungan pasukan tersebut pada aksi ke-11 Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.
Pengendalinya, Nafuzi Zain mengingatkan pemain Sang Kenari agar berwaspada dengan The Red Warriors (TRW) kerana kejutan boleh berlaku pada perlawanan tersebut jika mereka leka.
Iklan
Iklan
Menurutnya, KDA FC perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dan mahu momentum kemenangan ke atas Negeri Sembilan FC pada 28 April lalu diteruskan oleh anak buahnya.
"Jika kita pandang mudah dan leka, kita boleh dihukum. Jadi, kita perlu beri aksi yang terbaik seperti apa yang dirancangkan dan perlu elak daripada melakukan kesilapan mudah," katanya yang mengulas persiapan KDA FC menjelang aksi liga Super pada malam Jumaat.
Nafuzi berkata, walaupun Kelantan FC berada di dasar liga, pasukannya masih tetap perlu memberikan segala-galanya untuk memastikan tiga mata berjaya diraih.
Pasukan dari utara tanah air ini kini berada pada kedudukan kelima liga super dengan mengumpul 19 mata selepas enam kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan.
Kelantan FC pula menghuni tangga ke-13 liga super selepas hanya sekadar mengumpul empat mata.