Sanusi ingatkan Mahfuz tidak keterlaluan belanja duit pampasan

Iklan
Muhammad Sanusi (kiri) dan Mahfuz (kanan).

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar agar tidak berbelanja keterlaluan dengan wang pampasan kes mahkamah yang diterimanya.

Beliau berkata, tidak mustahil wang ganti rugi yang dibayar kepada Mahfuz pada awal Mei akan kembali kepadanya sekiranya kes saman terhadap Mahfuz berpihak kepada dirinya.

Iklan
Iklan

"Kalau saya menang kes itu, dia (Mahfuz) bayar baliklah duit saya itu. Jadi jangan belanja lagi duit yang saya bayar itu. Mungkin esok dia kena bayar saya pula,” katanya secara sinis.

Muhammad Sanusi berkata, sebelum ini Mahfuz mengingatkan beliau untuk melunaskan bayaran denda kes saman yang tidak berpihak kepadanya, sebaliknya Mahfuz berjaya menaikkan nilai ganti rugi kepada RM120,000 daripada RM50,000 dan kes terbabit sudah pun selesai selepas pampasan dibayar.

Iklan

Mahfuz memfailkan saman pada 9 Oktober 2019 berdasarkan hantaran dibuat Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, yang mengaitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan Pokok Sena.

Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap beberapa individu termasuk pemimpin pembangkang yang menuduh beliau terlibat dengan pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).

Iklan

Selain Mahfuz, individu lain yang turut disaman termasuk Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.

Sebelum itu, tular di media sosial pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh SADA selepas beberapa pihak mengaitkannya dengan Muhammad Sanusi.

Penularan berita itu turut mendorong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui pengurusan syarikat tersebut untuk meneliti dokumen berkaitan pembelian kereta mewah tersebut.

Muhammad Sanusi ketika itu menjangkakan kes tersebut yang difailkan di mahkamah akan melibatkan amaun jutaan ringgit.

Pengerusi SADA itu sebelum ini telah menjelaskan bahawa pembelian Toyota Vellfire tersebut untuk penggunaan secara perkongsian oleh ahli lembaga pengarah, pegawai kanan serta tetamu mereka.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi enggan mengulas lanjut kes berkenaan susulan ia masih dibicarakan dan menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara itu.

"Biar mahkamah putuskan kes itu. Kalau bayar kurang tak apa, kalau dia kena bayar lebih pasti makan modal lah,” ujarnya.