Terkilan gagal selamatkan barang tinggalan arwah bapa

Iklan
Keadaan dalam rumah milik tujuh beradik yang hampir musnah dalam kebakaran pada Rabu. (Gambar kecil: Nurul Aina Fitrah)

KUANTAN -Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan pilu tujuh beradik termasuk lima daripadanya orang kurang upaya (OKU) selepas rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapa mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Rumbia, Beserah di sini pada petang Rabu.

Paling terkilan, barang peribadi milik arwah bapa mereka termasuk pakaian yang disimpan rapi sebagai kenangan turut menjadi abu.

Iklan
Iklan

Di sebalik musibah memusnahkan rumah yang menjadi tempat berteduh bagi empat daripada tujuh beradik itu, mereka tetap bersyukur kerana semua penghuni selamat.

Anak sulung keluarga itu, Nor Azuraida Abd Rani, 39, berkata, selepas kematian bapanya, Abd Rani Mat, 62, kira-kira dua bulan lalu, dia dan seorang lagi adiknya Nurul Aina Fitrah, 29, mengambil alih tugas menjaga lima adik-beradik OKU, Mohd Amir Azwan, 20, Mohd Akmal Hakimi, 24, Mohd Iskandar, Siti Nurul Asyikin, 35 dan Asrul Nizam, 38.

Iklan
Nor Azuraida (kiri) dan adiknya Nurul Aina Fitrah meninjau keadaan dalam rumahnya yang hampir musnah dalam kejadian kebakaran pada Rabu.

Menurutnya, Mohamad Asrul Nizam dan Mohamad Iskandar tinggal bersamanya di Klang, Selangor, manakala Siti Nurul Ashikin, Mohamad Ikmal Hakimi dan Mohamad Amir Azwan tinggal bersama Nurul Aina Fitrah di rumah pusaka yang terbakar itu.

"Ketika kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu, tiga adik berada di rumah manakala Nurul Aina Fitrah berada di tempat kerja di sebuah pasar raya berdekatan.

Iklan

"Api dipercayai berpunca akibat litar pintas dari bilik utama (bilik arwah bapa).

"Selepas menyedari berlaku kebakaran, adik yang berada di dalam rumah segera keluar menyelamatkan diri sebelum menghubungi pihak bomba dengan bantuan saudara-mara yang tinggal berdekatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Nor Azuraida yang bertugas sebagai penjawat awam berkata, api marak dengan cepat kerana bilik tersebut menjadi tempat simpanan buku dan pakaian milik arwah bapanya.

Menurutnya, selepas dimaklumkan berhubung kejadian, dia segera pulang untuk menemui empat adiknya dan lega apabila mengetahui kesemua mereka selamat.

Katanya, buat sementara waktu, adik-adiknya menumpang di rumah saudara dan mungkin dia akan membawa pulang semua adiknya ke Klang kecuali Nurul Aina Fitrah.

"Kejadian ini dugaan besar bagi kami adik-beradik selepas kematian bapa kira-kira dua bulan lalu manakala arwah ibu, Zawiah Mahmud, 58, meninggal dunia tahun lalu akibat masalah jantung," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, nasib menimpa tujuh beradik itu akan diberikan perhatian sewajarnya.

Nor Azuraida (kanan) menceritakan kejadian malang keluarganya kepada Andansura yang datang menziarahi mereka di Kampung Rumbia, Beserah di sini pada Khamis.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini, kita akan gerakkan sukarelawan Jabatan Amal untuk kerja-kerja pembersihan rumah dan membawa keluar barang-barang selamat sekiranya ia masih boleh digunakan.

"Saya juga akan merujuk kejadian ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kerajaan negeri untuk tindakan sewajarnya termasuk bantuan membaiki atau bina semula rumah ini," katanya ketika ditemui selepas hadir melawat keluarga itu.