Kerosakan pintu baraj tidak jejas kualiti air

Iklan
Sharifah Zakiah (tiga dari kanan) melayani tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka JAS Negeri Kedah di sini pada Khamis.

ALOR SETAR – Kerosakan pintu baraj Sungai Muda pada Ahad tidak menjejaskan kualiti air di sungai berkenaan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Kedah (JAS) Negeri Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, ketika ini air Sungai Muda adalah selamat dan telah diluluskan untuk kegunaan domestik.

Iklan
Iklan

Katanya, JAS sentiasa mendapat maklumat terkini melalui pengawasan beberapa stesen di Sungai Muda yang akan menghantar bacaan kualiti air setiap jam kepada pegawai bertanggungjawab.

"Ia disifatkan selamat untuk dirawat dan digunakan untuk kegunaan domestik," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka JAS Negeri Kedah di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, JAS juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan menjalankan operasi pemantauan bagi memastikan kualiti air di Sungai Muda kekal sesuai untuk diminum.

"Kami sentiasa berwaspada kerana kemungkinan aktiviti industri atau pembuangan sisa yang berlebihan boleh mengakibatkan kemerosotan kualiti air sungai," katanya.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Sharifah Zakiah menasihatkan orang ramai supaya mengelak sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi memelihara standard kualiti udara.

" Mengurangkan pembakaran terbuka adalah penting terutamanya semasa fenomena El Nino yang dijangka berlaku Jun ini.

"Setakat ini kualiti udara masih terkawal tetapi risiko tercetusnya kebakaran berskala besar masih ada ketika cuaca kering dan panas," katanya.

Katanya, mereka yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka boleh didakwa mengikut Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya.