PUTRAJAYA -"Pengharaman buku 'Gay is Okay! A Christian Perspective' oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), adalah sejajar dengan peruntukan undang-undang dan telah melalui prosedur yang betul," kata Jabatan Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis.
Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly menghujahkan demikian ketika prosiding rayuan KDN dan Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Februari 2022 lalu, yang membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan penulis buku terbabit, Ngeo Boon Lin dan penerbitnya, Chong Ton Sin.
Semasa hujahan di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi bersama Datuk M Gunalan dan Datuk Wong Kian Kheong, Ahmad Hanir berkata, setelah KDN dan kerajaan meneliti kandungan buku itu, sebahagian petikannya menunjukkan ia berkemungkinan bersifat prejudis kepada ketenteraman, kepentingan awam dan moral.
Sekiranya timbul isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) beliau berkata, berlaku bantahan dan gesaan terhadap kerajaan supaya mengambil tindakan, malah berkemungkinan mengundang perhimpunan secara besar-besaran.
"Cara hidup homoseksual adalah dilarang oleh semua agama termasuk Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.
"Ia dilihat menerusi penolakan terhadap homoseksualiti oleh masyarakat umum yang juga berbilang agama di negara ini," katanya.
Pada 18 Disember 2020, KDN telah mewartakan perintah larangan terhadap dua penerbitan, antaranya adalah buku 'Gay is OK! A Christian Perspective' di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berkuat kuasa 27 November 2020.
Bagaimanapun, pada 22 Disember 2022, penerbit dan penulis buku itu berjaya membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri yang mengharamkannya.
Mahkamah mendapati, tiada bukti dan asas fakta undang-undang terhadap justifikasi menteri yang menjadi asas dalam perintah larangan itu.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin berkata, mesti diingat bahawa kandungan buku berkenaan adalah berkaitan homoseksual daripada sudut perspektif agama Kristian.