MEXICO CITY - Seorang wanita pribumi di Mexico dijatuhi hukuman penjara enam tahun dua bulan pada Khamis kerana membunuh perogolnya, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Mahkamah mengakui wanita itu, yang hanya dinamakan sebagai Roxana N, bertindak mempertahankan diri apabila dia membunuh penyerangnya pada 2021, namun berkata dia menggunakan kekerasan yang berlebihan.
Wanita berusia 23 tahun itu pada mulanya menumbuk lelaki berkenaan hingga pengsan, kemudian mencekiknya dan akhirnya cuba mengerat badannya. Dia menyimpan mayat itu sekurang-kurangnya 20 jam sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik dan meletakknya di atas jalan.
Mahkamah berkata ia mengambil kira"kelemahannya sebagai seorang wanita dan warga pribumi" dalam menjatuhkan hukuman.
"Ia adalah tentang nyawa saya atau hidupnya," kata wanita itu dalam temu bual dengan saluran berita Eme Equis."Saya hanya mahu mempertahankan diri saya daripada perogol,” katanya sambil menambah dia bertindak kerana takut.
Wanita itu bagaimanapun masih boleh membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Ibu tunggal dari negeri selatan Oaxaca itu dibantu oleh pertubuhan wanita. Dia sudah menghabiskan sembilan bulan dalam tahanan pra perbicaraan sebelum dibebaskan sepanjang tempoh perbicaraan. - Bernama