KUALA SELANGOR - Zaman kerajaan tahu semua perkara sudah berakhir kerana Kerajaan Perpaduan yang ada ketika ini mengambil kira pandangan semua pihak termasuk penuntut universiti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan yang wujud ketika ini meraikan pandangan berbeza dan memahami cita rasa generasi baharu.
"Kerajaan memerlukan pandangan generasi muda kerana zaman kerajaan betul dan tahu semuanya sudah berlalu," katanya ketika berucap pada Majlis Riang Raya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid memberitahu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai idealisme tinggi untuk mendengar permasalahan golongan muda kerana beliau pernah menjadi pemimpin pelajar suatu ketika dahulu.
"Saya merasakan saudara dan saudari (penuntut UiTM) merupakan aset negara buat masa ini dan masa depan," jelas beliau
Justeru, katanya, kerajaan perlu berubah sikap dan menyelami perasaan generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan suatu hari nanti.
"Generasi muda amat penting bagi melakukan transformasi dalam negara terutama melontarkan pandangan dan keyakinan dalam pilihan raya lalu.
"Marilah bersama kepimpinan kerajaan untuk melakukan perubahan demi kebaikan negara di masa akan datang," kata beliau.