IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Rumah Terbuka Malaysia Madani di Taman Tema Lost World of Tambun (LWOT) di sini pada Ahad.
Keberangkatan tiba baginda sekitar jam 8.20 malam itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubir.
Sempena sambutan itu, kira-kira 50,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri pekarangan taman tema bermula jam 6.30 petang.
Lebih 20 gerai disediakan menyajikan pelbagai hidangan antaranya nasi goreng ayam berempah, nasi ayam merah, kuetiau goreng, cendol, sate, lemang, rendang, roti john, mi kari, laksa dan apam balik.
Majlis yang berlangsung sehingga 11 malam itu menyajikan persembahan raja pop legenda, Datuk Jamal Abdillah dan ratu rock negara, Ella selain beberapa artis lain tanah air.
Setakat ini, majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani sempena Aidilfitri telah diadakan di Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Selangor.