Dr Mahathir: Selagi hidup, saya cuba jaga maruah negara

Iklan
Tun Dr Mahathir

KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan cuba untuk tidak membenarkan negara ini terjerumus dalam masalah buruk, hilang maruah, kedaulatan dan arah tujuan selagi masih hidup.

Perdana Menteri berkata, beliau sedar tentang cabaran didepani yang seolah-olah tidak dapat diatasi pada masa tertentu.

Iklan
Iklan

"Selagi saya hidup, saya akan cuba untuk tidak membenarkan negara ini jatuh, tercalar maruah dan hilang arah tujuan. Kita telah berjaya mengatasi cabaran dan rintangan pada masa lalu dan kita berharap dapat mengatasinya pada masa akan datang, insya-Alllah," katanya dalam ucapan pada Malam Anugerah dan Majlis Makan Malam Gala Persatuan Pertubuhan Pengurusan Asia (AAMO) ke-20 di sini, malam tadi.

Dr Mahathir turut berkongsi pengalaman beliau menerajui negara yang beliau menekankan untuk mencari alasan dan tujuan bersama.

Iklan

Justeru, beliau sangat menekankan tentang perlunya mempunyai alasan dan tujuan bersama yang akan menjadi titik permulaan ke arah mencapai perpaduan dalam kepelbagaian.

"Sejak saya menjadi perdana menteri pada kali pertama, saya sering ditanya tentang rahsia saya kerana mampu mengurus negara yang begitu pelbagai sehingga hampir setiap segmen mempunyai pelbagai permintaan dan keutamaan yang berbeza.

Iklan

"Tidak ada rahsia selain konsep paling asas dan logik ketika kita berhadapan dengan kumpulan orang yang pelbagai. Sebaik kita dapat mencapai alasan dan tujuan bersama, kita boleh membina mereka," katanya yang diberi penghormatan untuk menerima Anugerah Pembina Negara dan pemimpin Berwawasan AAMO atas sumbangan beliau kepada negara dan juga di peringkat antarabangsa.

Dr Mahathir berkata, pentingnya kepercayaan yang tulus untuk kebaikan rakyat dan negara serta berpegang kepada prinsip memikul tanggungjawab untuk mempertahankan negara dan kedaulatan.

"Membantu rakyat kita sendiri untuk bersatu dan sepakat untuk membangun dan membina negara adalah tanggungjawab kita dan kita juga akan mendapat faedah hidup di negara yang berjaya," kata perdana menteri yang telah berusia 93 tahun itu.

Dr Mahathir berkata, beliau dahulu adalah seorang doktor dan menghabiskan masa selama beberapa tahun mengamalkan profesion perubatan yang membolehkannya beberapa pengalaman profesionnya dimanfaatkan untuk pengurusan negara.

"Dalam banyak cara, pengurusan sebuah negara memerlukan proses yang sama seperti doktor, dan di mana dan apabila perlu, pemimpin perlu membuat keputusan yang drastik dan tegas untuk menyelamatkan negara," katanya.

Beliau juga berkata Malaysia sebagai sebuah negara sudah melalui pelbagai rintangan sejak mencapai kemerdekaannya dan beliau telah menyaksikan bagaimana ia melalui perjuangan untuk membina tapak dan menjadi sebuah negara yang mempunyai keazaman dan keyakinan. - Bernama