PEMAIN gantian West Ham United, Pablo Fornals menjaringkan gol pada masa kecederaan ketika pasukan itu memastikan kemenangan 1-0 ke atas AZ Alkmaar untuk mara ke perlawanan akhir Liga Persidangan Eropah dengan kemenangan agregat 3-1.
Kemenangan itu juga menyaksikan The Hammers menamatkan penantian selama 47 tahun untuk mara ke perlawanan akhir dalam kejohanan utama di Eropah.
Mereka dijadualkan menentang Fiorentina pada perlawanan akhir di Prague pada 7 Jun.
West Ham yang memenangi Piala Juara-Juara pada 1965 dan menjadi naib juara pada 1976, menunjukkan persembahan yang mantap walaupun kelihatan letih untuk menyaingi lawan mereka.
Namun, mereka cukup berdisiplin di bahagian pertahanan sebelum Fornals bijak mencuri peluang pada minit keempat masa kecederaan untuk memenangi perlawanan.
"Kami benar-benar teruja. Ia satu pencapaian besar untuk kelab, tetapi kini ia mengenai pergi dan memenanginya. AZ sangat bagus dalam apa yang mereka lakukan, tetapi saya gembira kami melakukannya.
"Kami membawa masuk ramai pemain antarabangsa untuk menjadi lebih baik, tetapi kami benar-benar bergelut musim ini. Kami terpaksa kembali kepada perkara yang membuatkan anda menang, dan bersyukur kami melakukannya," kata pengendali West Ham, David Moyes.
Kali terakhir West Ham mara ke final Eropah pada tahun 1976 apabila mereka tewas kepada Anderlecht ketika aksi Piala Juara-Juara.
Fiorentina bangkit sambar slot final
Jaringan pemain Fiorentina, Antonin Barak dalam masa kecederaan penghujung masa tambahan memastikan kelab Serie A Itali tersebut ke final Liga Konferensi untuk kemenangan 3-1 di Stadium St. Jakob-Park pada Jumaat.
Kemenangan agregat 4-3 sekali gus menterbalikkan kekalahan 1-2 Fiorentinadi Stadium Artemio Ranchi pada 12 Mei lalu.
Sebagai rekod, kelab Itali itu membuat final Eropah pertama dalam tempoh 33 tahun akan menentang West Ham United dalam perlawanan akhir di Prague pada 7 Jun.
West Ham pula mengesahkan kemaraan selepas kelab London itu menewaskan AZ Alkmaar dengan agregat 3-1 selepas menang 1-0 di Stadium AFAS pada separuh akhir kedua.
Lebih menarik Fiorentina menjadi kelab pertama mara ke pusingan akhir empat pertandingan UEFA, setelah bermain di Piala Eropah, Piala UEFA, dan Piala Antara Juara-Juara.
Kali terakhir Fiorentina mara ke final Eropah apabila tewas kepada Juventus dalam kejuaraan Piala UEFA pada 1990.
"Malam ini kami bermain seperti pasukan yang matang untuk menang.
"Ia adalah musim pertama saya di Eropah dan mara ke final adalah satu kepuasan yang hebat.
"Laluan ke final ini akan sentiasa kekal bersama kami namun kini kami mempunyai misi perlu diselesaikan," ujar pengendali Fiorentina, Fiore Vincenzo Italiano.
Fiorentina tampil permainan kemas selepas Basel memenangi perlawanan pertama 2-1 berdepan masalah mencari ruang selepas kelab Switzerland itu menggunakan strategi pertahanan mendalam selain melakukan serangan balas.
Fiorentina mendahului pada minit ke-35 apabila sepakan sudut disambut Nicolas Gonzalez yang tidak dikawal menanduk untuk menyamakan kedudukan agregat 2-2.
Zeki Amdouni kemudian menjaringkan gol untuk Basel 10 minit memasuki separuh masa kedua sebelum Gonzalez membalas pada minit ke-72 dengan rembatan tepat bagi membawa perlawanan ke masa tambahan.
Kemudian Barak melebarkan pendahuluan pelawat apabila meledak jaringan minit ke-129 untuk memastikan Fiorentina ke final.
Sebagai rekod, musim ini kelab Itali mara ke pusingan akhir bagi ketiga-tiga pertandingan Eropah, dengan Inter Milan menentang Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara dan AS Roma bertemu Sevilla dalam perlawanan akhir Liga Europa selepas hampir tiga dekad.
"Sungguh mengagumkan, bola sepak Itali menunjukkan bahawa ia kembali ke tahap penting. Ketiga-tiga mereka layak ke final, kami semua akan memberikan hati dan jiwa untuk mencapai kemenangan dalam perlawanan akhir," kata Italian lagi.