Ramai guna pendingin hawa, punca elektrik dicatu di Sabah

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 17 Mei. (Gambar kecil: Datuk Ir Shahelmey Yahya)

PENAMPANG - Permintaan atau penggunaan elektrik yang agak tinggi disebabkan keadaan cuaca yang panas antara punca bekalan elektrik terpaksa dicatu di seluruh Sabah.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, ramai pengguna menggunakan alat pendingin hawa menyebabkan penggunaan bekalan elektrik meningkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini menyebabkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat catuan untuk mengawal kestabilan grid di Sabah.

"SESB sedang melakukan tindakan jangka pendek untuk menambah kapasiti bekalan elektrik melalui penambahan set penjanakuasa tambahan jenis mobil di mana 11 unit sudah ada dan 17 unit lagi untuk menambah jumlah bekalan tenaga untuk diagihkan kepada pengguna.

Iklan

"SESB juga ada perancangan jangka panjang untuk menambah jumlah bekalan elektrik di Sabah namun ada sedikit kelewatan dari sudut pelaksanaan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sabah Load Dispatch Centre (SLDC) Penampang bersama SESB di Bundusan di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa catuan bekalan elektrik ini akan dilakukan sehingga Julai depan dan pengguna di negeri ini diharap dapat bersabar.

Iklan

"Bukan seluruh kawasan terputus bekalan elektrik, ia bertujuan untuk memastikan kawalan bekalan kuasa di grid SESB terkawal untuk mengelak kejadian yang tidak diingini.

"Teknikal dalam grid sistem tersebut ia adalah untuk mengawal dan memastikan semua mendapat bekalan elektrik," katanya.

Sehubungan itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta kepada pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek janakuasa elektrik di Sabah untuk memberi perhatian yang serius dan pantas agar ia boleh dilaksanakan segera.

"Ini penting bukan hanya untuk pengguna di Sabah tetapi ia mempengaruhi pertumbuhan ekonomi di Sabah.

"Sekiranya bekalan elektrik tidak ditambah dalam tempoh terdekat maka ia akan membantutkan usaha menarik pelabur dalam usaha membangunkan industri yang ada di negeri ini," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan beberapa daerah di Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik termasuk di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.