GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun ini bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang tetap dengan perancangan awal seperti sebelum ini iaitu akan membubarkan DUN pada minggu terakhir bulan depan.
"Seperti yang ditetapkan oleh keenam-enam negeri, ada persetujuan untuk membubarkan DUN dalam lingkungan dua minggu terakhir bulan Jun ini. Jadi daripada kenyataan-kenyataan yang kita baca, setiap negeri ada pertimbangan masing-masing sebab ada acara kerajaan dan sebagainya.
"Namun di Pulau Pinang, kita akan 'stick to the original plan' iaitu kedua minggu yang terakhir bulan Jun, sama ada minggu yang ketiga atau keempat. Itu adalah kepastian," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri, Komtar di sini pada Jumaat.
Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, langkah itu bagi memudahkan urusan SPR termasuk penyelarasan petugas dalam memastikan proses pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di enam negeri itu berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, susulan daripada keadaan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing di kawasan Seberang Perai, kerajaan negeri bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) telah mengadakan mesyuarat bagi mencari inisiatif penyuraian trafik di kawasan tersebut.
Menurutnya, susulan daripada itu, NCIA sekali lagi telah memohon peruntukan di bawah Rolling Plan 4 fi bawah Rancangan Malaysia ke-12(RMK12) kepada Kerajaan Ekonomi untuk melaksanakan Kajian Penyuraian Trafik Seberang Perai demi kepentingan semua pihak.
"Anggaran kos kajian adalah RM5 juta dan kajian akan mengambil masa enam bulan. Kajian bagaimanapun hanya boleh dilakukan selepas kelulusan diperolehi. Ia akan dibentangkan dalam bajet pada Oktober ini yang mana, ia merupakan bajet untuk tahun depan," katanya.
Kon Yeow berkata, adalah amat penting untuk melaksanakan penambahbaikan dalam menangani masalah kesesakan lalu lintas kerana masalah tersebut kini di tahap genting kerana ia melibatkan kira-kira 1.3 juta penduduk di tiga negeri utara Semenanjung.
"Semua penambahbaikan hanya akan diketahui selepas kajian dibuat sama ada nak melebarkan jalan, lebuh raya bertingkat atau lain-lain, ini semua terpulang kepada kajian yang dibuat.
"Selepas kajian, ia akan disusuli dengan pelaksanaan. Kita berharap projek ini bakal memperoleh kelulusan untuk pelaksanaan menerusi Bajet 2024 kelak," katanya.