Dua pelancong maut, bas ke Pulau Redang terbabas

Iklan
Lokasi nahas melibatkan sebuah bas persiaran yang terbabas dan terbalik di Kilometer 375.4, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT 2) Bukit Besi menghala Ajil di sini pada awal pagi Jumaat.

DUNGUN - Polis mengesahkan dua pelancong maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran yang terbabas di Kilometer 375.4, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT 2) Bukit Besi menghala Ajil di sini pada awal pagi Jumaat.

Nahas itu menyebabkan mangsa Tan Poh Hwa, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan sebelah kanan.

Iklan
Iklan

Seorang lagi mangsa iaitu Choo Chia Tan, 44, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di unit kecemasan di Hospital Dungun pada jam 8.53 pagi akibat kecederaan parah pada bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, dua pelancong itu bersama 28 individu lain dalam perjalanan dari Tampin, Negeri Sembilan menghala ke Jeti Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu untuk melancong ke Pulau Redang sebelum bas dinaiki terbabas lalu terbalik pada jam 5.20 pagi.

Iklan

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bas yang dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Menurut Baharudin, pemandu bas yang berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan pada kepala manakala seorang mangsa dirawat di zon merah Hospital Hulu Terengganu.

Iklan

Katanya, sembilan lagi mangsa dirawat di hospital sama manakala 14 lagi mangsa dirawat di Hospital Dungun

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun dan Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Katanya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.