Terapi diri kumpul mainan, patung figura aksi

Iklan
Adam bersama koleksi barang mainan dan patung figura aksi miliknya. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Tetamu yang masuk buat pertama kali ke dalam dua bilik di rumah milik Adam Shahruddin, 38, di Dengkil, Selangor pasti terpegun melihat ribuan koleksi barang mainan dan patung figura aksi disusun kemas menghiasi setiap genap ruang bilik tersebut.

Dua bilik seluas 1,000 kaki persegi itu menempatkan barang mainan dan patung figura aksi yang pernah muncul di televisyen, filem dan komik yang menjadi kegilaan kanak-kanak dari seluruh dunia pada era 90-an dan lewat 80-an.

Iklan
Iklan

Antara koleksi mainan dan patung figura aksi yang jarang dijumpai tersebut ialah topeng Darth Vader (filem Star Wars), papan luncur Hover Board (filem Back to the Future), Proton Pack (filem Ghostbusters), replika saiz sebenar Han Solo in Carbonite (filem Star Wars) dan topi besi yang dipakai oleh Magneto (filem X-Men).

Menceritakan hobinya itu kepada Bernama, Adam berkata, beliau mula minat untuk mengumpul koleksi mainan dan patung figura aksi tersebut ketika masih di alam persekolahan dengan barang mainan pada awalnya dihadiahkan oleh ahli keluarga.

Iklan

"Saya mula mengumpul barang mainan ini ketika di bangku sekolah rendah lagi dan ketika itu siaran di televisyen banyak siarkan animasi fantasi seperti Ninja Turtles, ThunderCats, Power Rangers, Transformers dan lain-lain.

"Ia menjadi ikutan kanak-kanak ketika itu termasuk diri saya. Ada juga beberapa barang mainan diterima sebagai hadiah daripada ahli keluarga kerana cemerlang dalam peperiksaan dan ia masih disimpan sehingga kini.

Iklan

"...dan apabila saya mula bekerja pada 2007 sebagai duty manager di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sedikit demi sedikit saya belanjakan duit gaji untuk beli koleksi mainan dan figura aksi. Jujurnya, saya tidak pasti berapa jumlah sebenar koleksi yang ada, tapi boleh dikatakan saya telah habiskan ribuan ringgit untuk memiliki kesemuanya,” katanya.

Ditanya mengenai kepuasan mengumpul barang mainan dan figura aksi, Adam yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik berkata, ia sebagai bentuk terapi kepada dirinya untuk mengimbau kembali memori indah ketika zaman kanak-kanak dahulu.

"Ada orang kata membazir, lebih baik duit dihabiskan pada perkara sepatutnya, tetapi mengumpul barang mainan ini sama juga denga hobi lain seperti memancing, ia ada peminatnya tersendiri, jadi tidak salah.

"Isteri dan keluarga saya juga menyokong kerana dengan hobi ini membuatkan saya lebih banyak masa bersama keluarga,” katanya yang mendapatkan koleksi mainan tersebut daripada penjual tempatan dan dari luar negara secara dalam talian.

Bercerita lanjut, Adam yang kini menjual nasi lemak berkata, setiap koleksi barang mainan dan patung figura aksi miliknya itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi khususnya bagi pengumpul mainan bergantung kepada penjagaan dan juga edisi yang ada.

Sebagai contoh kata Adam, komik Spiderman yang mempunyai tandatangan penulisnya, Stan Lee dibeli dengan harga RM2,000 tetapi kini nilainya mencecah RM5,000 hingga RM7,000.

Begitu juga dengan topi besi Darth Vader ‘legend edition’ keluaran Sideshow, yang dibeli dengan harga RM1,500 pada 2011, namun kini bernilai belasan ribuan ringgit, katanya.

Menurut Adam ketika ini beliau tidak berhasrat untuk menjual koleksi barang mainan dan figura aksinya itu sebaliknya ia akan disimpan sebagai pelaburan jangka masa panjang dan mungkin akan digunakan ketika kecemasan dan pendidikan anak-anaknya kelak. - Bernama