PUTRAJAYA - Tiga laluan kontra akan dibuka bermula 3 Julai ini sebagai langkah segera mengatasi masalah kesesakan jalan raya di ibu negara, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Laluan kontra itu melibatkan laluan Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya iaitu dari arah selatan ke Kuala Lumpur ; Jalan Maharajalela ke Taman Connaught; dan Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak.
Beliau berkata, pembukaan ketiga-tiga laluan kontra itu dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Kesesakan Jalan Raya (JTMKJR) Bilangan 1/2023 dipengerusikannya di sini pada Jumaat.
"Pembukaan laluan kontra ini diharap dapat membantu kurangkan kesesakan, penyelesaian jangka panjang masalah masih dalam perbincangan,” kata beliau pada sidang media selepas mesyuarat JTMKJR itu.
Laluan kontra di Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya adalah sepanjang 2.4 kilometer (km) manakala pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught melibatkan jarak sepanjang empat km.
"Pembukaan laluan kontra di kedua-dua laluan itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendirian kecuali motosikal,” katanya.
Loke berkata, laluan kontra Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak melibatkan jarak tiga km khusus untuk kenderaan pengangkutan awam iaitu bas sahaja.
"Tiada kenderaan persendirian dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksana jika ada kenderaan lain melaluinya,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan ketiga-tiga laluan kontra itu bermula 6 pagi hingga 9 pagi bagi waktu pagi manakala pukul 5 hingga 7 petang bagi sesi petang.
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyediakan satu garis panduan untuk memastikan laluan kontra itu dilaksana dengan baik dan selamat, katanya.
"Tiada tempoh tertentu untuk laluan ini (ditutup) kerana kita akan lihat keberkesanannya... ada (laluan kontra) di Jalan Cheras masih dibuka sejak 20 tahun lepas dan sukar ditutup,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan termasuk dengan ahli akademik sedang dilaksana bagi mencari punca utama kesesakan jalan raya selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.
Menurutnya, kajian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati terdapat enam juta kenderaan bergerak di ibu negara setiap hari.
"Penggunaan pengangkutan awam ketika ini hanya satu juta atau 15 peratus sehari berbanding enam juta atau 85 peratus bagi kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata, DBKL disarankan agar lebih tegas dalam proses pemberian kelulusan kepada pemaju untuk menutup jalan raya bagi tujuan pembinaan dan sebagainya. - Bernama