Pupuk nilai, kesedaran jaga kebersihan rumah - KPKT

Iklan
Akmal ketika melakukan lawatan tapak ke projek perumahan sakit di Taman Residensi Mesra, Gurun, Kedah pada Jumaat.

SUNGAI PETANI - Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengharapkan agar tanggungjawab dan kesedaran aspek kebersihan kawasan perumahan perlu menjadi elemen penting yang perlu diutamakan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, KPKT mengambil berat cabaran ataupun keadaan soal kerja yang sepatutnya dilaksanakan oleh syarikat konsesi dalam mengekalkan kebersihan kawasan perumahan.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, nilai serta sikap kesedaran penduduk setempat di kawasan perumahan juga perlu ditekankan dalam usaha mengekalkan aspek kebersihan tersebut.

"InshaALLAH susulan daripada soal kebersihan itu, kita juga akan tengok dari segi bagaimana nak menerapkan nilai ataupun sifat bertanggungjawab untuk kita sama-sama jaga kebersihan bukan hanya dari syarikat konsesi sahaja tetapi penduduk setempat," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya media berhubung perkembangan kebersihan flat kos rendah di Johor yang dibangkitkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa melakukan lawatan tapak projek perumahan sakit di Taman Residensi Mesra, Gurun, di sini pada Jumaat.

Menurut Akmal, tindakan pembersihan pada flat kos rendah yang kotor terbabit telah dilakukan dan dimaklumkan selesai pada Khamis.

Iklan

"Seperti sedia maklum, kita menjunjung kasih titah tuanku yang mana mengambil maklum dan mengambil berat teguran yang telah dikemukakan.

"Jadi semalam pun kita punya Ketua Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ismail Mokhtar telah ke tapak dan mengesahkan bahawa segala kerja kebersihan itu telah siap dan harap dapat dikekalkan.

"Jangan lepas ni tak sampai tempoh...terjadi kembali kerana mungkin yang lebih penting ialah soal kesedaran dan sikap," katanya.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim menzahirkan perasaan kecewa terhadap bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat kos rendah di Johor.

Baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di negeri berkenaan berada dalam keadaan daif serta dipenuhi sampah-sarap hingga menjadi pembiakan serangga berbisa.

Dalam perkembangan berlainan, Akmal berkata, berdasarkan data terkini, terdapat lapan projek perumahan di Kedah yang lewat daripada jadual membabitkan 1,491 unit manakala 26 projek lagi berada di bawah kategori bermasalah membabitkan 2,942 unit.

Antara projek perumahan sakit yang disenaraikan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Terlebih dahulu, beliau yang telah melawat Projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Bukit Pinang, Kota Setar menjelaskan, projek membabitkan 183 unit rumah teres dua tingkat yang tertangguh itu telah siap serta mendapat kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan(CCC) pada Khamis.

Akmal (kanan) ketika melakukan lawatan tapak ke projek perumahan sakit di Taman Residensi Mesra, Gurun, Kedah pada Jumaat.

Selain itu, bagi projek Taman Residensi Mesra di Kuala Muda yang sepatutnya siap pada Mac, Akmal berkata pemaju memberi jaminan untuk menyiapkan pembinaan menjelang akhir tahun ini.

Projek itu melibatkan 405 unit rumah satu tingkat dan 144 unit rumah dua tingkat.