Peruntukan tambahan baik pulih asrama sekolah terbakar - PM

Iklan
Anwar beramah mesra dengan kanak-kanak selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Dr Mohamad Eusuff Teh, di Pedas Hilir pada Jumaat. - Foto Bernama

REMBAU - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan bagi membaik pulih kerosakan asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di Pedas di sini yang terbakar pada Julai tahun lalu.

Beliau berkata, ada keperluan untuk menambah peruntukan sedia ada kerana peruntukan hampir RM3 juta yang diluluskan sebelum ini dilihat tidak mencukupi.

Iklan
Iklan

"Saya akan minta menteri besar bincang dengan pengarah Jabatan Kerja Raya supaya dapat Kementerian Kewangan sediakan kelulusan khas agar kerja baik pulih dapat dipercepatkan dan tidak ikut proses JKR daripada peruntukan yang diumumkan sebelumnya, ia ditambah menjadi RM3.89 juta,” katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Iklan

Pada majlis berkenaan, Anwar turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM310,000 bagi tujuan menaik taraf bilik guru dan surau di sekolah berkenaan.

"Terima kasih kerana kecekalan pengetua dan pendidik serta disiplin anak-anak di sini yang dapat mengangkat kedudukan sekolah ini menjadi antara sekolah cemerlang.

Iklan

"Sekolah ini tidak daif tetapi daripada prasarana sangat sederhana, kalau lihat asrama itu kesesakannya luar biasa dan kemudahannya agak minimum tetapi masih mampu kerana komitmen dan dedikasi tenaga pengajar dan disiplin anak-anak dengan masih mengangkat martabat akademik satu sekolah ini," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan dalam kejadian pada 31 Julai tahun lalu, kira-kira 10 bilik asrama pelajar lelaki sekolah berkenaan musnah dalam kebakaran yang turut melibatkan bahagian bumbung dan dinding sebuah kelas di blok bersebelahan.