ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak sewajarnya mendahului mahkamah berhubung kes saman fitnah yang masih berlangsung.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang memberi bayangan seolah-olah akan memenangi kes tersebut dengan menjangkakan kemungkinan bayaran ganti rugi diterima Mahfuz akan kembali kepadanya, menyerlahkan sikap beliau.
Menurutnya, dibimbangi sikap terlebih yakin Muhammad Sanusi kelak membuatkan dirinya sekali lagi ‘tersepuk’ dengan keputusan mahkamah.
"Sanusi membayangkan seolah akan menang kes yang masih berjalan. Tindakan seperti itu bahaya, sekiranya mendahului keputusan mahkamah dan ramal akan menang, tiba-tiba tak menang. Bimbang nanti ‘tersepuk’ jika kalah.
"Saya risau sekali lagi dia akan memalukan diri sendiri dan mengadu kepada Sultan Kedah sama seperti kes saman sebelum ini yang tidak berpihak kepada beliau,” katanya di sini pada Jumaat.
"Muhammad Sanusi belum selesai berikan keterangan, saya pula belum dipanggil mahkamah dan masih tunggu giliran untuk berikan keterangan. Kes ini masih tertangguh dan kemungkinan disambung pada Julai,” ujarnya.
Pada Oktober 2020, Muhammad Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap beberapa individu termasuk pemimpin pembangkang yang menuduh beliau terlibat dengan pembelian kenderaan mewah jenis Toyota Vellfire oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA).
Mahfuz pula memfailkan saman terhadap Muhammad Sanusi pada 9 Oktober 2019 berkaitan hantaran Muhammad Sanusi melalui akaun Facebook pada 30 Julai 2019, mengaitkan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu dalam isu pemindahan premis judi Sport Toto ke kawasan Pokok Sena.
Pada 3 April, Muhammad Sanusi gagal dalam rayuan saman fitnah yang difailkan Mahfuz, sebaliknya permohonan Mahfuz menaikkan jumlah ganti rugi diluluskan daripada RM50,000 kepada RM120,000.
Dalam pada itu, Mahfuz mengucapkan terima kasih kepada Muhammad Sanusi atas peringatan agar tidak berbelanja besar wang pampasan yang diterima.
"Terima kasih sebab ingatkan saya jangan belanja habis wang itu, saya bukan jenis boros. Lagipun saya tak minat dengan kenderaan mewah dan tidak ada niat beli kereta, cukup yang ada sekarang. Saya pun jenis yang berjimat cermat,” jelasnya lagi.