PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berharap kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran di Sukan SEA Kemboja, mampu membuka mata semua pihak mengenai keperluan melakukan penstrukturan semula model sukan negara.
Beliau berkata, sekiranya Kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan, pada hakikatnya ia bukanlah satu keputusan yang boleh diagungkan.
Mohamad Norza berkata, Malaysia tidak sepatutnya bersaing dengan Singapura atau Filipina, sebaliknya mencabar Vietnam, Thailand dan Indonesia, untuk kedudukan tiga teratas pada temasya berkenaan.
"Jika capai 40 emas pun, adakah ia akan mengubah kedudukan Malaysia di tempat ketujuh? Adakah negara kita perlu buat perbandingan dengan Singapura menerusi perbezaan 17 pingat emas atau Vietnam yang berbeza 102 emas.
"Model sukan di negara kita sudah lapuk dan perlukan perubahan...Dunia sudah berubah, begitu juga sukan, kita perlu terima perubahan dan bawa masuk idea baharu. Kita perlu kembali jadi tiga terbaik di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media Rangkuman Prestasi Sukan SEA Kemboja di sini pada Jumaat.
Malaysia mencatatkan pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, apabila menamatkan cabaran di kedudukan ketujuh keseluruhan dengan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa, sekali gus gagal mencapai sasaran 40-37-64.
Vietnam mempertahankan gelaran juara keseluruhan dengan kutipan 136-105-118, manakala tuan rumah Kemboja mencatatkan pencapaian terbaik mereka dengan buruan 81-74-127 pingat, untuk berada di tempat keempat.
Sementara itu, Mohamad Norza turut menggesa pihak persatuan sukan kebangsaan (NSA) untuk melakukan reformasi institusi dengan mencipta dua ‘enjin’ untuk meningkatkan bakat dalam sukan.
"Cukupkah dengan hanya mempunyai persatuan negeri, bagaimana dengan kelab dan sektor swasta? Perlu membesarkan jumlah bakat yang ada menerusi kelab,” katanya.
Beliau turut meminta Persatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Persekutuan Renang Malaysia (MS), untuk bertindak segera memperbaiki prestasi masing-masing, kerana kedua-dua sukan itu menawarkan jumlah pingat yang paling banyak, dengan 86 emas menjadi pertaruhan.
"Renang hanya mendapat satu daripada 39 pingat emas dan olahraga lima daripada 47 emas. Sejak Sukan SEA 2019 di Filipina lagi saya dah cakap mengenai dua sukan ini, kerana ia merupakan sukan kategori satu, jadi kita perlu buat keutamaan dengan betul dan kembangkan peranan masing-masing,” katanya. - Bernama