AKSI persahabatan berdepan Kelab Ragbi Johor (Pirates Rugby Club & MVP Rugby Club) di Leisure Farm, Bale Club, Gelang Patah pada Sabtu, diharap mampu membantu persiapan skuad ragbi kebangsaan mengharungi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2023, Jun depan.
Menurut ketua jurulatih skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar, pihaknya yakin skuad kendaliannya itu akan dapat membuat persiapan terbaik apabila bakal berdepan dengan kelab ragbi Johor yang dibarisi ramai pemain handalan.
"Tujuan utama kita mengadakan aksi persahabatan atau kita kata practice match ini adalah bagi menguji kombinasi pemain baharu dan lama setelah kesemua pemain melapor diri Ahad lalu.
"Kita pilih Johor untuk aksi persahabatan ini disebabkan saingan liga di Lembah Kluang telah pun bermula dan atas cadangan rakan-rakan kita memilih Johor kerana difahamkan kebanyakan pasukan di sini sedang melakukan persiapan menjelang saingan bagi Liga Johor tak lama lagi.
"Jadi, bagi saya, keadaan ini memang baguslah sebagai persiapan pasukan kita," katanya kepada Sinar Harian sempena sesi latihan skuad Bunga Raya di Stadium Ragbi Mount Austin, Johor Bahru pada Jumaat.
Skuad ragbi 15 sebelah kebangsaan bakal berdepan skuad Korea Selatan pada 3 Jun di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), sebelum menentang Hong Kong di tempat lawan pada 10 Jun bagi saingan liga satu pusingan dalam Divisyen Premier musim ini.
Untuk rekod, kesemua pemain kali ini melibatkan 20 pemain yang pernah menyarung jersi skuad Bunga Raya sebelum ini, termasuk 10 muka baharu yang dipilih daripada Kejohanan Ragbi Piala Agong, Disember lalu.
Sementara itu, Mohd Farid Syazwan berkata, untuk saingan ARC kali ini, skuad Bunga Raya tidak dibarisi pemain dari Fiji seperti sebelumnya.
Bagaimanapun katanya, skuad kali ini dibarisi seorang sahaja pemain naturalisasi dari United Kingdom.
"Pemain ini dah lama bekerja di sini, dah lebih lima tahun, jadi dia layak untuk beraksi sebagai naturalisasi.
"Apa pun, kami menyasarkan untuk merekodkan lebih banyak kejayaan dalam saingan ARC kali ini sekali gus diharap dapat membantu melonjakkan lagi ranking sedia ada," katanya.