Imigresen buka kaunter khas untuk dokumentasi jemaah haji

Iklan
Ruslin melakukan tinjauan di kaunter khas Imigresen di Bangunan Satelit, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada Jumaat. - Foto Bernama

SEPANG - Jabatan Imigresen akan membuka 10 kaunter khas mulai Ahad ini hingga 21 Jun bagi melancarkan proses dokumentasi jemaah haji Malaysia, kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh.

Bercakap pada sidang media selepas melakukan tinjauan di kaunter berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Jumaat, Ruslin berkata, seramai 30 anggota imigresen akan ditugaskan secara syif sepanjang tempoh tersebut.

Iklan
Iklan

"Pembukaan kaunter khas di Gate C17 ini adalah suatu inisiatif bagi memberi keselesaan kepada jemaah haji tanpa perlu bersesak-sesak dengan penumpang lain. Ini termasuk dalam Program Pra-Pelepasan Jemaah Haji atau ‘Makkah Route’ yang melibatkan Jabatan Imigresen dan kastam Arab Saudi,” katanya.

Pelaksanaan 'Makkah Route' membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Mekah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa setibanya di lapangan terbang negara itu.

Iklan

Menerusi inisiatif itu, anggota imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA bagi program itu akan memeriksa pasport jemaah haji dan apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah, jemaah haji Malaysia tidak perlu lagi menunggu proses imigresen dan kastam di negara itu.

Malaysia merupakan negara pertama yang terpilih untuk melaksanakan program perintis bagi inisiatif 'Makkah Route' pada 2017 dan ia diteruskan hingga kini.

Iklan

Ruslin berkata, beliau amat berpuas hati dengan tahap persediaan anggota dan peralatan di kaunter terbabit dan akan ditambah baik sekiranya diperlukan kelak.

"Kita tidak mahu jemaah haji sesak di kaunter khas kita dan menyebabkan urusan imigresen di pihak Arab Saudi terganggu,” katanya. - Bernama