SHAH ALAM - Pakar kesihatan menyifatkan tindakan pemain industri vape yang mahukan kawal selia penggunaan tetapi tidak bersetuju dengan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang bermatlamatkan generasi penamat perokok (GEG) adalah satu taktik untuk melambatkan pelaksanaannya.
Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Ahli Nicotine Addiction Research UM, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata, sehingga kini masih belum ada persetujuan dibuat oleh pemain industri berkaitan GEG.
"Dari tahun 2018 Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menyemak semula akta berkaitan GEG kerana setiap dasar yang kerajaan ingin lakukan, ia mengambil kira semua perkara bukan hanya pada waktu itu tetapi juga masa depan.
"Walaupun KKM menyemak semula akta itu, tetapi ia masih belum ada persetujuan dibuat oleh pemain industri vape dan tembakau kerana objektif kerajaan adalah ke arah negara bebas merokok,” katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Cukup Selamatkah Vape di Malaysia sebagai Pengganti Rokok?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panel ialah Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan Vape Malaysia, Ridhwan Rosli manakala Finaz Yunus sebagai hos.
Dr Megat Mohamad Amirul Amzar menegaskan pelaksanaan GEG penting bukan sahaja untuk vape tetapi juga rokok.
"Sejak 2018, kita sedang melawan satu perang, namun tidak pernah menang malah prevalens perokok di Malaysia tiada menunjukkan penurunan walaupun ada peraturan.
"Kini perkara yang lebih membimbangkan adalah pengguna vape mencatatkan peningkatan,” ujarnya.
Tambah beliau, jika tiada satu akta yang merujuk kepada masa hadapan untuk menghalang ketagihan penggunaan nikotin, perkara itu akan sentiasa berlaku.
Ujar beliau lagi, sekiranya mahu KKM kawal selia produk berkenaan, pemain industri vape juga perlu bersetuju dengan akta yang menghalang remaja dan kanak-kanak daripada menghisap vape
Jelasnya, KKM adalah pembuat dasar yang melihat kepada kesihatan rakyat dan bukan keuntungan.