Di sebalik kegagalan mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA Kemboja 2023, masih ada sinar yang dapat dilihat daripada penampilan 63 peratus atlet muda dalam kontinjen Malaysia kali ini.
Malah, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tetap menganggap ada sisi positif yang dijelmakan kontinjen Malaysia terutamanya barisan atlet muda yang menyumbang 18 pingat emas, 27 perak dan 66 gangsa.
"Saya sudah katakan daripada hari pertama, orang yang komen seperti itu tidak mengikuti sidang media kita sebelum kita menghantar kontinjen lagi. Kita sudah katakan, daripada hari pertama kita tahu, kita hilang semua pingat ini kerana sukan itu tidak dipertandingkan.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar rangkuman prestasi kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023 yang dianggap pencapaian terburuk dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959.
Turut hadir timbalannya, Adam Adli Abd Halim; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA Kemboja 2023, Datuk Mohd Nasir Ali.
Dalam pada itu, Hannah memuji atlet muda dan atlet yang kali pertama ke temasya tersebut susulan prestasi baik dipamerkan terutama Umar Osman yang meraih emas 400 meter lelaki dengan catatan rekod kebangsaan.
Sebanyak 62 peratus iaitu 423 daripada 674 atlet, kali pertama beraksi di pentas Sukan SEA dan seramai 211 orang daripada mereka berjaya menaiki podium dengan membawa pulang 12 emas, 20 perak dan 46 gangsa.
Sementara itu, atlet bawah usia 23 tahun meliputi 63 peratus (427 atlet), seramai 222 berjaya menaiki podium apabila meraih 18 emas, 21 perak dan 66 gangsa.
"Ini adalah strategi kita untuk menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand dan 2027 di Malaysia, kita yakin atlet muda kita mampu menyinar," jelasnya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, ketidakstabilan politik dalam lima tahun terakhir termasuk dalam sektor ekonomi menjadi antara penyebab kegagalan pada Sukan SEA 2023.
"Sukan menjadi antara sektor yang terkesan kerana apa yang dirancang termasuk program pembangunan dan pelaksanaan strategi tidak dapat dilaksanakan.
"Sebelum ini, ada menteri tidak sampai setahun. Keluar bajet, langkah susulan dan melaksanakan strategi tidak sempat. Macam Norza cakap sebelum buat sudah tukar dan ada hala tuju baharu," ujarnya.