PUTRAJAYA - Pengguna yang merasakan wujudnya unsur penipuan dalam urusan pembelian tiket konsert siri jelajah Coldplay diminta membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
KPDN menerusi satu kenyataan pada Sabtu berkata, aduan boleh dilakukan dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan.
Menurutnya, langkah tersebut untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah mana-mana akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN atau lain-lain kementerian.
"Berhubung isu penjualan semula tiket konsert Coldplay pada harga terlalu tinggi, KPDN ingin menasihati pengguna agar membuat pembelian bijak dengan mendapatkan tiket daripada saluran jualan rasmi dan sah.
"Sebagai pelanggan, pengguna berhak memilih tiket pada harga yang bersesuaian dengan kemampuan mereka dan penawaran harga yang berpatutan oleh peniaga," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, KPDN menyeru kepada semua peniaga agar lebih beretika dalam urusniaga dan mengelakkan daripada melakukan kesalahan di bawah mana-mana undang-undang.
Rabu lalu, media melaporkan beberapa individu dipercayai kumpulan 'scalper' atau pembeli tiket hantu menjual semula tiket konsert Coldplay iaitu Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan dengan harga mencecah RM43,200.
Difahamkan tiket tempat duduk kategori 1 berharga RM1,288 seperti tertera dalam laman web rasmi GoLive-Asia namun kumpulan 'scalper' mengambil kesempatan dengan menjual tiket berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal.
Mengikut individu menjual tiket, sasarannya hanya untuk mereka berkemampuan manakala pertukaran dengan motosikal tidak diterima.
Ekoran itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pada Jumaat berkata, kementeriannya akan mengadakan perjumpaan dengan penganjur bagi mendapatkan situasi sebenar yang berlaku kepada jualan tiket konsert berkenaan.
Katanya, KKD akan meneliti mekanisme pembelian tiket tersebut terutama melibatkan isu platform digital, sama ada perlu ada sekatan ataupun syarat-syarat dicadangkan ataupun melihat kepada kesesuaian keadaan.