MACHANG - Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang sudah menghantui rakyat Kelantan puluhan tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut disalurkan bermula tahun ini sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Iklan
Iklan
"Sebagaimana yang saya nyatakan, kita mahu tata kelola dan libat urus secara telus.
"Manakala dari segi pilihan urus tadbir kita serahkan kepada Kementerian Kewangan," katanya semasa sidang akhbar selepas hadir ke Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaacub.
Sebelum itu, pada 12 Mei, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri menegaskan pihaknya akan mencari dana dan melaksanakan projek bekalan air yang lengkap bagi menyelesaikan masalah itu di Kelantan.
Menurut beliau, pihaknya juga akan melaksanakan projek itu dengan cepat jika kerajaan negeri memberi kerjasama.