JPJ kesan pengusaha bas ambil, turunkan penumpang luar terminal

Iklan
Gambar hiasan - Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Pemandu dan pengendali syarikat bas diingatkan agar menurunkan penumpang di dalam terminal bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Pengaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, pemantauan mendapati segelintir pemandu masih dikesan mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal khususnya di Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).

Iklan
Iklan

Menurutnya, JPJ Kuala Lumpur juga menerima aduan daripada pihak syarikat yang menguruskan Terminal KL Sentral Sdn Bhd, Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) mengenai isu berkenaan.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan saman kepada mana-mana pemandu atau pengusaha bas yang masih berdegil dan tidak mengambil berat akan peringatan ini.

Iklan

"Penguatkuasaan berhubung larangan mengambil dan menurunkan penumpang di luar kawasan terminal sentiasa dilaksanakan demi memastikan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain selamat dan kesesakan lalu lintas dapat dielakkan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zaki berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan selain menggiatkan lagi penyamaran bagi memastikan semua pengusaha bas ekspres mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.

Iklan

Katanya, orang awam juga dipohon supaya dapat menyalurkan maklumat atau membuat aduan kepada JPJ Kuala Lumpur memandangkan perkara itu boleh diatasi secara bersama.

"Diharap bantuan orang awam menjadi mata dan telinga pihak JPJ demi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya di tahap yang baik," ujarnya.