Felcra bantu keterjaminan makanan negara

Iklan
Ahmad Zahid menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak semasa Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu, Machang pada Sabtu.

MACHANG - Felcra Berhad (Felcra) menetapkan satu pertanggungjawaban baharu dengan menjadi sebuah agensi untuk melakukan aktiviti pengeluaran bahan-bahan makanan bagi membantu kerajaan dan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia bertujuan untuk membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi mengurangkan import bahan mentah selain beras, daging lembu, ayam, telur dan beberapa bahan makanan lain.

Iklan
Iklan

"Kita bukan mahu bersaing dengan pengeluar sedia ada tetapi sekadar mengurangkan kos sara hidup dan juga untuk menentukan bahawa soal keterjaminan makanan ini tidak bermusim sama ada musim raya atau di luar musim," katanya semasa sidang akhbar selepas hadir ke Majlis Mesra Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Iklan

Menurut beliau, usaha tersebut juga akan memberi peluang kepada peserta Felcra dan generasi kedua sebagai tenaga kerja di dalam bidang berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini kerajaan sudah memiliki estet padi seluas 3,000 hektar di Perak serta mengenalpasti sebanyak 12,000 hektar di Sarawak dan 6,000 hektar di Sabah.

Iklan

Ujarnya, estet padi tersebut bergantung kepada ketersediaan tanah yang luas untuk dijadikan estet seperti di Perak.

"Di Sabah dan Sarawak persetujuan dasar sudah diperoleh dan kerja-kerja awalan untuk melakukan kajian kemungkinan sudah dilakukan.

"Soal hak milik tanah ia tidak akan mengambil hak milik kerajaan negeri atau individu, tetapi kita mempunyai perkongsian pintar seperti yang dilakukan di Perak," katanya.