SYARIKAT pemaju perbandaran terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) pada Sabtu, mengumumkan lima pemenang Perodua Axia bagi cabutan bertuah kempen LBS Fabulous Extra 2022-2023.
Lima buah Perodua Axia itu merupakan antara ganjaran utama yang ditawarkan kepada pembeli bertuah yang membeli hartanah dengan harga bermula RM300,001 ke atas.
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, seramai 600 orang pemenang cabutan bertuah telah dipilih secara rawak bagi pusingan pertama menerusi media sosial Facebook rasmi syarikat itu pada 3 Mei lalu.
Ujarnya, LBS sentiasa mengambil berat keinginan dan hasrat pembeli rumah dan akan terus berusaha untuk memberi nilai tambah.
"Diharap cabutan bertuah ini akan memberi pengalaman manis apabila mereka membuat keputusan untuk memiliki rumah LBS sebagai kediaman mereka. Kempen 'LBS Fabulous' pertama pada tahun lepas, telah menerima sambutan yang sangat menggalakkan.
"Selain berusaha untuk menyediakan perumahan mampu milik, LBS juga turut memberikan pengalaman membeli rumah yang unik,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang bertuah di galeri jualan KITA @ Cybersouth, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif LBS, Datuk Joey Lim Hock Guan; Pengarah Eksekutif LBS, Datuk Seri Daniel Lim Hock Sing dan pegawai tertinggi syarikat yang lain.
Mengulas lanjut, Hock San berkata, kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta peningkatan harga rumah ketika ini diakui menyebabkan ramai yang akan ‘berkira-kira’ untuk membeli rumah.
Namun katanya, LBS tetap komited untuk memastikan hasrat rakyat di negara ini membeli rumah akan dipenuhi.
"Tumpuan LBS ketika ini adalah untuk terus menjadi pemaju perumahan mampu milik yang sentiasa menekankan kepada kualiti dan dalam masa yang sama memberi penekanan kepada komuniti dan ketersambungan,” katanya.
Tambahnya lagi, bakal pembeli rumah di perbandaran KITA @ Cybersouth yang membuat pembelian daripada 20 hingga 21 Mei 2023 juga berpeluang untuk memenangi televisyen 40 inci secara percuma (tertakluk kepada terma dan syarat).
Sementara itu, sepasang suami isteri menerima ‘durian runtuh’ selepas diumumkan pemenang dua hadiah utama kempen berkenaan.
Falize Akmal Ahmad, 30 dan isteri, Nur Nafishah Mudir, 26, diumum pemenang cabutan bertuah sebuah Perodua Axia dan sebuah kerusi urut Ogawa Smart Reluxe Massage Chair bernilai RM10,999.
Berkongsi detik manis itu, Falize Akmal yang juga pekerja swasta berkata, hadiah berganda yang dimenanginya itu disifatkan pengalaman paling bermakna di dalam hidupnya.
"Alhamdulillah, saya bersyukur sangat dengan hadiah yang tidak disangka-sangka ini dan impian saya sebenarnya ingin membeli kereta kedua untuk kegunaan isteri berulang-alik ke tempat kerja.
"Tidak sangka pula hadiah yang ingin saya belikan kepada isteri ‘datang’ dengan percuma. Jutaan terima kasih kepada pihak LBS kerana merealisasikan impian saya ini,” katanya yang juga pembeli rumah teres satu tingkat.
Dalam pada itu, selain lima Perodua Axia dan kerusi urut, hadiah menarik lain yang turut ditawarkan termasuk motosikal SM Sport 110, mesin basuh, peti sejuk, peralatan rumah, sistem hi-fi dan pelbagai lagi.