KSM bangunkan pelan komprehensif lindungi profesional suara

Iklan
Mustapha ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program Suara Nadi Kehidupan di yang diadakan di NIOSH, Bandar Baru Bangi, pada Sabtu.

BANDAR BARU BANGI - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membangunkan pelan pembangunan dan perlindungan komprehensif untuk golongan profesional suara yang bergantung kepada peti suara sebagai sumber pendapatan mereka.

Timbalan Menterinya, Mustapha Sakmud berkata, KSM perlu melindungi golongan tersebut yang membabitkan banyak profesion seperti guru, penyanyi, ejen pusat panggilan, penceramah dan juga ahli politik.

Iklan
Iklan

"Kita perlu membantu mereka kerana pekerjaan mereka menuntut penggunaan vokal yang lebih kerap di mana boleh menyebabkan pelbagai masalah berkaitan suara seperti serak, keletihan vokal dan pembentukan nodul vokal yang boleh menjejaskan kesihatan peti suara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Suara Nadi Kehidupan di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), di sini pada Sabtu.

Iklan

Program yang diadakan sempena sambutan Hari Suara Sedunia itu dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan NIOSH bersempena"Hari Suara Sedunia” yang disambut pada 16 April setiap tahun.

Pada majlis tersebut, penyanyi yang juga jurulatih vokal terkenal tanah air, Datuk Shafinaz Selamat turut mengendalikan forum khas bertajuk 'Suara untuk Bekerja dan Kerja untuk Suara'.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM, Profesor Datuk Dr Norazah Mohd Nordin; Rektor Aswara, Profesor Dr Ruslan Abdul Rahim dan Pengarah Eksklusif NIOSH, Ayop Salleh.

Mengulas lanjut, Mustapha memberitahu, KSM juga akan mengkaji kemungkinan untuk menyediakan pelan perlindungan insurans peti suara untuk golongan profesional suara termasuk melalui agensi di bawahnya iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Terdahulu di dalam ucapannya, Mustapha berkata, KSM melalui agensi-agensinya seperti NIOSH sentiasa menyokong program dan inisiatif yang memberi manfaat kepada para pekerja terutamanya yang berkaitan dengan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), selaras dengan pendekatan Malaysia Madani.

Berbanding dengan masalah-masalah KKP yang lain seperti pencemaran bahan kimia dan bunyi bising, beliau menjelaskan, masalah kesihatan berkaitan peti suara jarang mendapat perhatian kerana orang ramai sering menganggap ia bukanlah isu yang serius.

"Kebanyakan kita menganggap suara hanya digunakan untuk berkomunikasi, namun peti suara adalah organ yang amat penting bagi individu yang bergantung pada suara dalam pekerjaan mereka," ujarnya.

Mustapha memberitahu, kajian yang dijalankan Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap guru-guru sekolah rendah di Lembah Klang menunjukkan isu berkaitan suara amat ketara di mana 78 peratus daripada mereka mengalami sekurang-kurangnya sekali ketidakselesaan vokal dalam setahun.

Menurut beliau, para pekerja yang mempunyai masalah berkaitan suara turut dikaitkan isu ketidakhadiran yang ketara, kualiti hidup yang lebih rendah serta mempunyai tahap kebimbangan atau"anxiety” yang lebih tinggi.

"Saya difahamkan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, kira-kira 30 peratus pesakit yang dirujuk kepada ahli terapi pertuturan untuk proses rawatan merupakan pengguna suara profesional iaitu mereka yang bergantung pada suara sebagai punca pendapatan," katanya.