PORT DICKSON - Seekor anak buaya tembaga ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas ditemui terdampar di Pantai Saujana, Batu 4, di sini pada Sabtu.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Port Dickson, Kapten (PA) Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan anak buaya berkenaan daripada pengunjung pantai berkenaan jam 1.29 pagi.
"Anggota telah ke lokasi dan berjaya menangkap anak buaya jenis tembaga berkenaan dengan menggunakan peralatan khas.
"Pemeriksaan mendapati anak buaya itu dianggarkan seberat 800 gram dan ia kemudian dibawa ke pejabat APM untuk disimpan sementara waktu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, penemuan buaya di pantai Port Dickson bukanlah perkara baharu namun itu pertama kali ia berjaya ditangkap selepas menerima aduan awam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan segera sekiranya terjumpa haiwan tersebut.
"Kita biasa terima aduan orang awam nampak kelibat buaya di pantai Port Dickson tetapi apabila pemantauan di lokasi dilakukan ia tidak dijumpai," katanya.