Pesara polis maut dirempuh ketika buat pusingan U

Iklan
Pasukan bomba yang berusaha mengeluarkan mayat tersepit di bahagian pemandu kereta.

KOTA BHARU - Seorang pesara polis maut apabila kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda ketika membuat pusingan U di Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Melor di sini pada Sabtu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi itu meragut nyawa Che Mohd Noor Awang, 63.

Iklan
Iklan

Seorang lagi pemandu iaitu remaja berusia 18 tahun yang memandu kenderaan jenis Isuzu D-Max mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa remaja lelaki tersebut memandu dari arah Melor Ke Kubang Kerian.

Iklan

"Sampai di lokasi kemalangan sebelum Wisma Haji Razali, secara tiba-tiba Perodua Viva yang dipandu Che Mohd datang dari arah bertentangan membuat pusingan U dalam jarak yang dekat.

"Remaja tersebut tidak sempat mengelak dan terlanggar sisi kiri kereta mangsa menyebabkan terseret sekitar 30 meter arah ke Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini.

Iklan

Menurut Rosdi, Che Mohd tidak sedarkan diri selepas tersepit pada ruangan pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian.

"Remaja tersebut pula menerima rawatan sebagai pesakit luar di Zon Kuning hospital sama.

"Punca kemalangan dikenal pasti kerana tindakan pemandu kereta membuat pusingan U tanpa memberi keutamaan kepada kenderaan lain yang bergerak lurus hingga menyebabkan kemalangan,” ujar beliau.

Katanya, kedua-dua kenderaan yang terlibat rosak keseluruhannya.