SHAH ALAM - Selepas mengeluarkan kenyataan menggesa pengundi UMNO di enam negeri menyokong calon DAP, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan ahli dan penyokong DAP melakukan tindakan serupa dengan memberikan sokongan serta undian kepada calon UMNO dan MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ahmad berkata, 19 parti yang telah bergabung membentuk Kerajaan Perpaduan itu perlu saling memberikan sokongan antara satu sama lain.
"Ini namanya persefahaman,” katanya dalam satu hantaran di Twitternya pada Sabtu.
Ahmad pada Jumaat berkata, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, ahli dan penyokong DAP turut digesa mengetepikan perbezaan dan memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO.
Katanya lagi, langkah itu penting bagi memastikan kestabilan politik sama ada peringkat pusat mahupun negeri.
Namun demikian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gesaan tersebut disifatkan sebagai sesuatu yang janggal selain bertentangan dengan dasar parti.
Mengulas mengenai perkara tersebut, menurut Ahmad, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini juga pernah bersama gabungan yang terdapat DAP di dalamnya.
Ahmad dalam ciapan lain memaklumkan, setelah melakukan semakan, DAP menyokong empat perkara yang menjadi teras perjuangan UMNO iaitu Islam, Melayu, Raja dan juga bahasa melalui Deklarasi Shah Alam pada 2012 dan Deklarasi DAP@50 pada 2016.
"Dinamika politik baharu mengubah hala tuju perjuangan. Terpenting bersama perjuangkan nasib rakyat agar jadi lebih baik,” ujarnya.