Kelantan tersungkur lagi, tewas 1-3 dengan KL City

Iklan
Aksi antara KUFC dan KL City FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

KOTA BHARU - Kelantan United FC (KUFC) terus dirundung malang apabila tewas 1-3 ketika menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV di sini pada Sabtu.

Beraksi di hadapan 224 penonton, peluang awal muncul untuk KUFC pada minit-11 namun sepakan deras pemain jersi 10 Jose Elmer Porteria sempat ditepis penjaga gawang KL City FC Muhammad Azri Ghani.

Iklan
Iklan

Seminit kemudian tandukan Yan Victor Silva Paixao turut kecundang apabila bola ditangkap kemas Muhammad Azri.

Anak buah Bojan Hodak bangkit melancarkan serangan menerusi sepakan deras Saravanan Thirumurugan yang menerjah gawang lawan menewaskan penjaga gol Ahmad Asyraaf Omar pada minit-16.

Iklan

Pasukan pelawat terus bertuah apabila asakan yang dilakukan sekali lagi berjaya membolosi pertahanan tuan rumah memberikan gol kedua melalui sepakan Sean Gan Giannelli pada minit-23.

Saravanan (kiri) yang menjaringkan gol penalti pada Aksi Liga Super di Kota Bharu pada Sabtu.

Ketinggalan 0-2, skuad Kijang Hijau merapatkan kedudukan melalui Devid De Santana Silva menerusi tendangan penalti kencang pada minit ke-33 selepas Mohamad Fandi Othman dikasari pemain lawan.

Iklan

Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan 1-2.

Babak kedua perlawanan dalam hujan lebat tidak menghentikan asakan dari kedua-dua pasukan.

Minit-63, situasi tegang tercetus antara kedua-dua pasukan apabila berlaku insiden tolak-menolak membabitkan Romel Oswaldo Morales Ramirez dan Yan Victor.

Keadaan pantas ditenangkan pengadil perlawanan Fitri Maskon.

Tujuh minit masa tambahan memberi kelebihan kepada skuad City Boys untuk menambah jaringan menerusi penalti yang disempurnakan oleh Paulo Josue Sturmer Dos Reis.

KUFC turut berpeluang menambah jaringan melalui penalti seterusnya yang diterima namun gagal disudahkan Yan Victor.

Perlawanan tamat dengan keputusan KUFC 1, KL City FC-3.