PETALING JAYA - Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil Zahari membela diri atas pertuduhan menggunakan dadah jenis ganja THC, Januari lalu.
Keputusan itu dibuat Majistret Nor Ariffin Hisham hari ini selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan prima facie pada akhir kes pendakwaan.
Justeru, mahkamah menetapkan 15 dan 16 Mei depan sebagai prosiding bela diri.
Farid,38, memilih untuk memberi keterangan bersumpah di kandang saksi.
Suami Diana Danielle itu didakwa menggunakan dadah Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 4.30 petang pada 11 Januari 2018.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Farid diwakili peguam, Megat Syazlee Mokhtarom.
Pada 11 Januari 2018, Farid ditahan polis selepas mengamuk dan menyerang seorang anggota polis serta dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara ketika hadir untuk membuat laporan berhubung kemalangan jalan raya.
Ujian air kencing juga mendapati dia positif dadah.