SAMBIL mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, seorang penulis muda bertanyakan kepada saya tentang teks pascamoden dan memerlukan penjelasannya. Agak menarik juga anak muda ini, baru berkenalan dengan sastera, dan tertarik dengan teks-teks pascamoden.
Menurut Brian McHale dalam bukunya, Postmodernist Fiction (2002) tanggapan yang menunjukkan bahawa kegiatan penulisan diertikan sebagai aktiviti produksi cerita dan pengaliran perasaan, telah ditinggalkan perlahan-lahan dalam kalangan penulis pascamodenis. Meski cerita menjadi dasarnya, tetapi bukanlah teks sastera itu semata-mata untuk menyampaikan cerita.
Pengarang sebagai tukang cerita sudah berakhir, jika mahu juga terikat dengan cerita, biarlah sebelah kaki sahaja yang diikat, sementara sebelah kaki lagi melangkah ke hadapan.
Brian McHale mengambil contoh karya-karya yang dihasilkan oleh Nabokov dan Umberto Eco. Sebelah kaki mereka terlihat ikatannya kepada cerita dan belitannya masih realisme, tetapi sebelah kaki lagi memperkatakan lanskap intetelektual, imej-imej falsafah dan keunggulan metafizika.
Dalam novel Ada, Nabokov memperkatakan dunia nyata yang dikombinasikan dengan sihir-sihir unreal, sehingga kita membaca bukannya hendak mengetahui struktur ceritanya, tetapi makna-makna yang terbangkit daripada dunia unreal itu.
Teks Marquez mempunyai gaya yang sama dunia nyata dicampurkannya dengan dunia abstrak, yang penuh dengan unsur magis.
Menulis sesebuah teks kreatif merupakan kegiatan untuk menyampaikan sesuatu yang difikirkan mempunyai signifikan kepada khalayak. Fiksyen lebih menumpukan kepada penyampaian cerita, puisi kepada penampilan curahan perasaan dan drama gambaran situasi masyarakatnya.
Tanggapan ini meletakkan bahawa fiksyenis haruslah seorang tukang cerita yang mahir, dan khalayak membaca teksnya untuk mengetahui apakah akhiran ceritanya. Kelahiran karya pascamoden seakan-akan menentang naratif tradisional dan masuk ke metanaratif.
Karya berbentuk dialektal ala Marxis, yang mementingkan citra pertentangan kelas masyarakat telah dibongkar sauhnya. Penulis-penulis pramodenis seperti Balzac, Flubert, Dostoevsky, Hemangway dan lain-lainnya yang mementingkan candra dan cerita tidak lagi menjadi rujukan.
Tegasnya mereka bersikap parasitik dan menentang terhadap yang silam. Watak-watak yang kelihatannya idealisme dan bersifat pensiero debole iaitu yang bertahan dalam keunggulan perwatakannya mula disisihkan.
PEMBERONTAKAN PENULIS
Sejarah kelahiran teks-teks pascamoden didasarkan oleh pemberontakan penulis yang melahirkan karya-karya yang digelar sebagai teks nouveau roman. Menyebut nouveau roman tentu kita teringat kepada nama yang sering disebut iaitu Allan Robbe-Grillet.
Novel-novelnya yang menghilangkan rasukan perasaan, dan mengeringkan daripada tekanan-tekanan emosi, dianggap sebagai suatu permulaan ke arah lahirnya karya bentuk baharu.
Nouveau roman pada awalnya dikenakan untuk genre novel. Oleh kerana kelahirannya diikuti dengan genre yang lain terutamanya drama dan puisi, akhirnya ia dinamakan sebagai teks nouveou atau teks baharu, kemudiannya terkenal juga sebagai karya avant-garde. Dan rangkaian nama-nama Robbe-Grillet, Beckett, Fuentes, Coover, Pynchon dan Joyce menjadi kemuncak kegiatan avant-garde ini.
Para penulis avant-garde ini mempunyai arah, aliran dan gaya masing-masing yang tidak terikat kepada sesuatu teori penulisan. Ada yang mengaplikasikan aliran surealisme, simbolisme, absurdisme, eksistensialisme, neo realisme, realisme abstrak dan pelbagai corak dan bentuk eksprimental.
Meski mereka semua pernah berkumpul dan menyatakan untuk menggegarkan sastera konvensi dan membinasakan penjara sastera fizikal, tetapi mereka bersetuju membawa apa sahaja bentuk dan corak pembaharuan.
Tidak ada sesuatu yang khusus baik dalam kanun, dasar, falsafah, atau manifesto untuk golongan avant-garde ini. Masing-masing membawa aliran dan gaya yang tersendiri.
Para pengkaji sastera keseluruhannya menyatakan kegiatan teks avant-garde telah merubah definisi teks dan makna sastera, serta memberi sumbangan yang besar ke arah melahirkan teks-teks sastera tinggi.
Tidak ada siapa yang menolak kejayaan mereka, dan golongan avant-garde ini juga kemudiannya digolongkan sebagai penulis paling berpengaruh pada zamannya iaitu zaman awal pacamoden.
Seperti yang kita ketahui betapa besarnya seseorang penulis, angkatan dan aliran itu, akhirnya menghadapi juga kelahiran karya baharu, penulis baharu dan falsafah serta teori penulisan yang baharu.
Ia bukan suatu pemberontakan terhadap teks sebelumnya, yang dalam erti kata lain bukannya melakukan demitefikasi, penentangan atau penyanggahan; sebaliknya suatu pengembangan dan kesinambungan.
TEKS MODEN
Malah penulis-penulis yang digolongkan ke dalam pascamoden zaman pertengahan ini, ada antaranya yang sudah berkarya menghasilkan teks moden seperti Allan Robbe-Grillet sendiri dengan karyanya, La jalousie.
Nama-nama lain ialah Nabokov dengan Pale Fire, Pynchon dengan The Crying of Lot 49 dan Gravity’s Rainbow, DeLillo dengan Running Dog serta Libra dan pengarang yang selalu menjadi tumpuan teks pascamodenisme ini ialah Umberto Eco dengan dua buah teksnya, The Name of the Rose dan Foucault’s Pendulum.
Di samping itu ada pengarang yang karyanya digolongkan dalam ketiga-tiga golongan iaitu sebagai teks pramoden, moden dan pascamoden. Pengarang itu ialah James Joyce. Karyanya Postscript: A Potrait of the Artist diklasifikasikan sebagai premoden, Dubliners sebagai teks moden dan Finnegans Wake pula karya pascamoden.
Sementara karya agungnya, Ulysses yang mengandungi pelbagai episod yang berlainan gaya dan teknik penceritaan menurut zaman-zaman peristiwa, digolongkan oleh para pengkaji sebagai teks yang mempunyai ketiga-tiga ciri tersebut.
Teks-teks pascamoden, yang kadang-kadang disebut juga sebagai arriere-garde itu mempunyai beberapa ciri. Ia bersifat inovatif dan mendahului zaman. Lebih merupakan demonstrasi intelektualisme serta menggunakan prinsip konstruktif epistemologi iaitu persoalan-persoalan yang membincangkan hal-hal berhubungan dengan metafizika dan falsafah.
Cerita hanyalah sebagai kenderaan yang membawa penumpang-penumpang ilmu. Foucoult’s Pendulum karya Eco itu misalnya teksnya didasarkan kepada pemikiran-falsafah Foucoult yang terkenal abad ini. Dalam karya DeLillo, dunia yang kita duduki ini dihidupkan sebagai manusia, yang mempunyai jiwa, perasaan dan akal, dan dikatakan sedang mengalami pelbagai penyakit kronik, yang sekiranya tidak dikawal - dunia yang bernyawa itu - akan musnah.
Brian McHale menggelarkannya sebagai penyakit leunahalluziationen, iaitu penyakit kegelisahan, keterasingan dan kesepian jiwa manusia sendiri. Teks tipikal pascamoden dikatakan kaya dengan petanda kehidupan dalaman manusia.
Sekiranya teks moden lebih memperlihat sifat konstruksi, mengumpul dan membina sesuatu, tetapi teks-teks pascamoden lebih bersifat dekonstruktif; iaitu memecah dan memisah-misahkan. Penulis mengaplikasikan teori dekonstruksi Derrida. Demikianlah sedikit penjelasan tentang teks sastera pascamoden, diharap dapat menjawab pertanyaan anak muda itu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia.