JERANTUT - Musim panas yang melanda negara ketika ini dimanfaatkan sebaik mungkin pengusaha tanaman anggur di sini bagi mendapatkan hasil lebih baik.
Syed Norhaimi Syed Zin, 58, memberitahu rasa buah anggur menjadi lebih manis selain masak sekata pada musim tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, ia bergantung dengan cara penjagaan dan pengurusan ketika musim cuaca panas bagi mendapatkan hasil buah yang lebih baik.
"Bila musim panas sebegini, sebenarnya kandungan gula akan menjadi lebih tinggi jadi rasa buahnya lebih manis selain masak pun sekata.
"Bahkan pada musim cuaca panas ini juga tanaman kurang diserang ulat, fungus pada buah pun kurang berlaku sekali gus warna buah jadi lebih cantik," tambahnya.
Beliau yang kini mempertaruhkan pengalaman serta kepakarannya di Pusat Pertanian Temin di sini juga memberitahu, hasil tanaman anggur di pusat itu membuahkan hasil selepas 10 bulan ditanam.
"Untuk fasa pertama, sebanyak 32 pokok pelbagai jenis ditanam dan ia sudah matang serta mula mengeluarkan hasil dengan secara purata 30 hingga 40 kilogram diraih setakat ini," jelasnya.
Sebelum ini, Syed Norhaimi yang juga bekas kakitangan Risda pernah tular di media sosial dek kerana kejayaannya menanam anggur di kawasan kediamanya di Taman Seri Embun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac 2020 lalu.
Sejak itu, kediamannya sering menjadi perhatian masyarakat yang tertarik dan ingin mempelajari bagaimana anggur ditanam sehingga kini.