[VIDEO] Kumpulan pertama jemaah haji tiba di Madinah

Iklan
Wan Zaidi menyambut ketibaan jemaah di Hotel Saja Al Madinah.

MADINAH - Seramai 284 jemaah haji kumpulan pertama yang menaiki pesawat Penerbangan Malaysia KT1 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamed Bin Abdulaziz pada jam 7 pagi di sini.

Mereka kemudiannya dibawa dengan menaiki tujuh bas ke hotel penginapan, Hotel Saja Al Madinah yang jaraknya 19 kilometer dari lapangan terbang dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 22 minit.

Iklan
Iklan

Setelah tiba di sini, jemaah disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah; Timbalan Ketua Rombongan Haji (kebajikan), Nurrinanuwar Shamsuddin; Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Abdul Marsudi Manah; Konsul Haji, Mohammed Heikal Mohammed Yusoff dan Pengarah Operasi Madinah, Ashrof Shamsuddin.

Pada Ahad sahaja, sebanyak empat penerbangan berlepas dari KLIA ke Madinah membawa kira-kira 1,100 jemaah haji.

Iklan

Semua jemaah haji Malaysia yang memasuki Madinah semuanya akan tinggal di tiga buah hotel iaitu Saja Al Madinah, Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel yang bertaraf lima bintang serta kedudukannya hanya 50 meter dari Masjid Nabawi.

Wan Zaidi (tengah) pada sidang akhbar di Hotel Saja Al Madinah di sini. Turut serta Nurrinanuwar (kiri) dan Mohammed Heikal.

Sepanjang enam hari berada di sini, pelbagai program telah dirancang antaranya aktiviti ziarah dalam iaitu melawat ke Makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah dan program pemantapan ibadah haji bagi menjawab segala persoalan jemaah serta meningkatkan lagi pemahaman berkaitan Rukun Islam kelima itu.

Iklan

Turut dirancang program ziarah luar iaitu jemaah akan dibawa melawat ke Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada serta ke ladang tamar.

Mengulas mengenai proses ketibaan yang lancar, Wan Zaidi berkata, jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang berikutan manfaat program pra perlepasan jemaah haji atau 'Makkah Route'.

"Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini," katanya.

Sarif Mohd Danial

Menurutnya, Malaysia adalah antara negara terawal menerima kemudahan program berkenaan kerana mempunyai rekod pengurusan haji yang cemerlang.

Sementara itu, jemaah Malaysia yang ditemui rata-ratanya bersyukur kerana berjaya menjejakkan kaki ke Kota Suci umat Islam ini.

Perasaan sama turut dikongsi pasangan adik beradik, Sarif Mohd Danial Sarif Rosli,22, dan adiknya, Sarif Mohd Nor Adam, 20, dari Jitra, Kedah yang teruja kerana dapat menunaikan haji pada usia muda.

Sarif Mohd Nor Adam

Sarif Mohd Danial adalah penuntut jurusan logistik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam manakala adiknya baru tamat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Bagi mereka, kejayaan untuk menjejakkan kami ke Tanah Suci adalah disebabkan usaha gigih ibu bapa mereka menyimpan di Tabung Haji sejak kecil lagi.

"Insya-ALLAH kami akan memanfaatkan masa di Tanah Suci ini dengan melakukan ibadah dan sedia membantu jemaah lain yang berhadapan kesukaran,” katanya.

Azman Shah

Seorang lagi jemaah, Azman Shah Ahmad, 50, juga bersyukur kerana dapat menjadi tetamu ALLAH bersama isteri, bapa dan ibu saudara.

Beliau yang telah mendaftar haji pada 2008 berharap dapat memperoleh haji yang mabrur di samping dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang berada di sini.

Bagi Morad Hasan, 72, dari Utan Aji, Perlis, kehadiran tanpa isteri tidak mematahkan semangat kerana segala persediaan telah dilakukan di tanah air.

Morad

"Isteri saya tidak dapat bersama-sama saya kerana tidak lulus ujian kesihatan. Doakan saya sihat untuk mendapat haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Pada tahun ini 31,600 jemaah haji berangkat secara berperingkat ke Madinah dan Makkah sebelum menunaikan haji.

Sebanyak 102 penerbangan telah disediakan dengan penerbangan terawal pada 21 Mei dan terakhir dijangka pada 21 Jun.