SHAH ALAM - Kerajaan perlu membuat pemantauan berhubung Pangkalan Data Utama (Padu) yang akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel tahun depan bagi memastikan pengumpulan data itu dilakukan secara telus.
Pengerusi Rasuah Busters Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, setiap individu atau agensi terlibat mestilah memenuhi kriteria integriti agar tiada ketirisan berlaku.
"Apa saja pindahan maklumat mesti diteliti dan dianalisis secara telus bukannya sekadar atas kertas. Kita tidak mahu adanya kelompangan sehingga menyebabkan hasrat membantu rakyat secara keseluruhannya tidak tercapai.
"Jadi, pihak yang berwajib perlu proaktif dan melakukan soal selidik secara menyeluruh sehingga akar umbi termasuk kawasan kampung dan pedalaman," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Ahad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menjelaskan pangkalan data bersepadu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat.
Katanya, penelitian semula semua data bagi menyiapkan Padu itu dilaksanakan selepas dipersetujui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), minggu lalu.
Tambah Hamdan Daniel, isu ketirisan dan integriti haruslah diambil berat kerana ia melibatkan dana kerajaan.
"Semua pihak yang layak diharapkan dapat menikmati subsidi RON90. Jangan pula berada di takuk lama dan seperti tikus membaiki labu, mahu membantu serta memperbetulkan keadaan tetapi akhirnya semakin rosak.
"Oleh itu, perkara ini perlu diambil serius oleh semua pihak agar misi membantu meringankan beban rakyat tercapai," jelasnya.